PETALING JAYA: MIC tidak akan menerima jawatan timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agungnya, R. T. Rajasekaran berkata, perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat MIC semalam.
“MIC mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
“MIC juga merakamkan sokongan kepada titah Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) untuk menyokong Kerajaan Perpaduan.
“Semoga Perdana Menteri dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sempurna dan adil untuk semua kaum di Malaysia,” katanya dalam kenyataan semalam.
Perdana Menteri menerusi perkongsian di laman Facebook beliau semalam memaklumkan calon-calon bagi jawatan Timbalan Menteri akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.-UTUSAN










