Menteri jawab semua isu pendidikan minggu depan - Utusan Malaysia

Menteri jawab semua isu pendidikan minggu depan

FADHLINA Sidek
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek akan menjawab semua isu berkaitan pendidikan dalam sidang akhbar yang akan diadakan ming­gu hadapan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, isu berkaitan menjadualkan se­mula tarikh kemasukan penggal ba­ha­ru persekolahan kepada Ja­nuari berbanding Mac juga akan dibincangkan dalam sidang akhbar tersebut.

Pelbagai isu pendidikan se­ring mendapat perhatian pelbagai pihak dan sebagai kementerian yang bertanggungjawab perlu membuat pertimbangan sewajarnya.

Antara isu-isu yang menarik ialah berkaitan bebanan silibus murid sekolah rendah, model baharu pendidikan pembelajaran Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat persekolahan lagi.

Turut mendapat perhatian jurang pendidikan antara sekolah bandar dan luar bandar dari segi infrastruktur digital mahupun fizikal.

“Saya akan buat PC (sidang akhbar) dan jawab semua isu berkaitan minggu hadapan. Insya-Allah. Harap dapat bersabar tunggu saya dan timbalan saya masuk pejabat,” jawab beliau ringkas.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan cadangan pelbagai pihak kepada kerajaan untuk mengembalikan semula takwim persekolahan kepada Januari kerana ramai keliru de­ngan tarikh kemasukan pada Mac yang mengganggu kelancaran sistem persekolahan ke­rana bukan pada awal tahun.

Selain itu, Co­vid-19 yang menjadi punca sesi persekolahan dilewatkan sudah berubah apabila negara mema­suki fasa en­demik 1 April lalu.

NUTP

Cadangan itu turut diperse­tujui Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) walaupun mengakui ia tidak boleh dilaksanakan secara mengejut pada tahun depan kerana ia agak terlambat selain banyak perkara persekolahan yang tertangguh.

Katanya, bagi tahun 2024 juga agak tidak bersesuaian kerana tidak akan sempat dari segi pengoperasian dan ini akan menjadi isu kepada guru-guru akibat terpaksa menghabiskan silibus dengan cepat.

Kementerian Pendidikan menetapkan sesi akademik persekolahan tahun 2023 dan 2024 bermula Mac kerana mahu memberi ruang yang cukup kepada murid dan pelajar melalui proses pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka selepas tertangguh akibat Covid-19.

Cadangan sama turut dipersetujui Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), namun ia mahu dilaksanakan dengan mendapat pendapat orang ramai khususnya persatuan-persatuan guru, ibu bapa, guru-guru serta pelajar bagi melihat kebaikan dan keburukan sesi persekolahan Januari atau Mac.

Antara pelaksanaan yang boleh dibuat ialah memendekkan cuti persekolahan dalam 10 hari supaya dalam masa beberapa tahun ini sesi persekolahan dapat kembali kepada asl tanpa mengganggu sesi pem­belajaran pelajar.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN