Malaysia, EU meterai Perjanjian Perkongsian Kerjasama

Malaysia, EU meterai Perjanjian Perkongsian Kerjasama

ZAMBRY Abdul Kadir menyantuni Josep Borrell Fontelles ketika sela Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-EU di Brussels, Belgium semalam. - Ihsan Wisma Putra
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) semalam buat julung kali memeterai Perjanjian Perkongsian Kerjasama (PCA).

Menurut kenyataan Wisma Putra di sini hari ini, Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang juga wakil khas Perdana Menteri mewakili negara ini pada perjanjian tersebut.

“EU pula diwakili oleh Wakil Tinggi bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan, Josep Borrell Fontelles yang juga Naib Presiden Suruhanjaya Eropah,” katanya.

Turut serta dalam pemeteraian tersebut melibatkan 27 negara anggota blok berkenaan ialah Presidensi Majlis EU yang turut merupakan Perdana Menteri Czechia, Petr Fiala.

PCA ujar Wisma Putra adalah salah satu daripada acara tertinggi pada Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-EU yang buat kali pertama diadakan dalam sejarah dua blok tersebut.

Pemeteraian itu berlangsung semalam di Brussels, Belgium yang turut menempatkan ibu pejabat EU manakala perjanjian ini meliputi kerjasama pelbagai bidang dengan Malaysia.

Mengulas lanjut, kenyataan itu menambah bahawa, PCA merangkumi rangka kerja politik strategik yang lebih holistik bagi menambah baik dan mengukuhkan hubungan kerjasama.

“Perjanjian ini membabitkan sejumlah 60 artikel yang bertujuan untuk meningkatkan lagi jaringan kerjasama pelbagai bidang termasuklah perdagangan dan pelaburan,” katanya.

Ia turut meliputi kerjasama dalam aspek tenaga, pengangkutan, pertanian, kewangan, maritim dan bidang lain menerusi dialog serta pertukaran maklumat secara bersama.

Wisma Putra bagaimanapun menjelaskan, PCA akan mula berkuat kuasa setelah diratifikasi oleh kerajaan Malaysia dan kesemua negara anggota EU dalam masa terdekat.

Zambry ketika perbincangan dengan Fontelles turut meneliti isu kepentingan bersama termasuk kebimbangan Malaysia terhadap undang-undang penebangan hutan oleh EU.

Malaysia, ujar beliau, juga mengesahkan akan menyertai sesi mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama Minyak Sawit EU dan Malaysia yang turut melibatkan kerajaan Indonesia.

Mesyuarat kali ketiga itu bakal diadakan pada suku pertama tahun depan dan mereka berdua juga ada menyentuh situasi politik di Myanmar selain isu konflik Ukraine-Rusia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya