Malaysia boleh musnah kerana minda negatif, tamak - Sultan Perak

Malaysia boleh musnah kerana minda negatif, tamak -Sultan Nazrin

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyenaraikan beberapa sikap masyarakat yang boleh memusnahkan negara pada masa akan datang.

Titahnya, pihak yang mempunyai pemikiran negatif, menyebarkan nilai sesat dan bersikap tamak boleh membawa kepada kehancuran negara.

“Malaysia tidak akan dimusnahkan melalui peperangan, tetapi boleh dimusnahkan oleh ‘common enemies’ atau musuh bersama yang mengandungi tetapan minda yang negatif dan toksik, sikap destruktif, nilai sesat yang merupakan antitesis kepada nilai yang diterima secara universal.

“Kepercayaan yang tidak lagi relevan pada era semasa, amalan yang tidak boleh diterima oleh sesiapa pun, sikap tamak yang menghakis nilai murni lantas mendorong kepada amalan rasuah dan salah guna kuasa serta prasangka tanpa asas,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika melancarkan buku Tan Sri Rafidah Aziz berjudul  ‘Rapid Fire Rafidah – Being Malaysian First’ di ibu negara hari ini.

Pada masa sama, baginda juga bertitah, banyak lagi perkara yang boleh dipelajari daripada buku Rafidah, antaranya mengenai pemikiran sempit dalam kalangan guru-guru sekolah.

“Kebimbangan apabila ada kalangan guru-guru di sekolah yang mentafsirkan agama secara sempit dan subjektif, berdasarkan peristiwa yang dicatatkan dalam bab 8, muka surat 143, apabila anak beliau mendapat arahan bahawa pelajar-pelajar Islam tidak dibenarkan menyertai kumpulan koir dan sekali gus tidak boleh menyertai konsert hujung tahun yang dianjurkan oleh sekolah,” titahnya.

Selain itu, baginda turut tersentuh dengan isu pendidikan yang dibangkitkan oleh Rafidah dalam bukunya.

“Nelson Mandela diceritakan dalam bab 6, muka surat 105, semasa berada dalam penjara, secara berterusan menghantar mesej mengandungi tiga patah perkataan “education before revolution”.

“Nelson Mandela menegaskan pentingnya anak-anak kulit hitam Afrika mempersiapkan diri dengan menguasai ilmu pengetahuan untuk bersedia mengambil alih jawatan-jawatan utama di Afrika Selatan apabila tiba masanya.

“Sayangnya, nasihat Mandela tidak dihiraukan, di sebaliknya mereka memilih untuk berjuang di jalan-jalan raya, dan apabila mereka berjaya memperoleh kuasa, tidak ramai orang kulit hitam yang memiliki persiapan pendidikan yang setimpal untuk mengambil tanggungjawab penting dan utama dalam negara,” titahnya.

Selain itu, baginda kagum dengan personaliti Rafidah yang wajar dicontohi oleh rakyat Malaysia.

“Beliau meletakkan dirinya sebagai seorang berjiwa Malaysia, melihat dan melayani setiap rakyat sebagai warga negara Malaysia yang wajar diberikan layanan secara adil dan saksama, tanpa prejudis tanpa diskriminasi.

“Keupayaan dan kepetahannya menguasai Bahasa Inggeris dengan fasih dan baik lalu membolehkannya berhujah dan berdebat tanpa merasa kekok dan tidak berasa inferior ketika berada di pentas antarabangsa. Beliau juga memilih kehidupan yang berkat melalui pendapatan yang halal dan menolak rasuah,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.