Laung azan ketika ribut terbangkan bumbung rumah

Laung azan ketika ribut terbangkan bumbung rumah

KEADAAN rumah penduduk yang rosak akibat dilanda ribut di Kampung Bahagia, Teluk Intan semalam. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: “Saya hanya mampu berdoa ketika melihat bumbung rumah diterbangkan ribut, namun, inilah kebesaran Allah apabila ribut terus reda apabila seorang budak lelaki melaungkan azan.”

Itu detik cemas yang dilalui seorang wanita warga emas, Joriah Jalaluddin, 74, ketika ribut melanda Kampung Bahagia di sini petang semalam yang menyebabkan tujuh buah rumah rosak apabila bumbung rumah diterbangkan angin.

Rumah Joriah di Jalan Mat Ali, Kampung Bahagia di sini antara yang rosak teruk dalam kejadian pada kira-kira pukul 5 petang semalam.

Menceritakan detik cemas yang dilaluinya semasa ribut, Joriah berkata, ribut melanda secara tiba-tiba tanpa hujan.

Katanya, sebaik sahaja ribut membadai, dia terdengar bunyi atap rumah yang terangkat beberapa kali akibat ditiup angin.

“Saya berasa sangat takut, saya tidak mampu berbuat apa-apa, hanya berdoa. Saya terus berlari ke luar rumah ke sebuah kedai di seberang jalan untuk berlindung.

“Ketika itu saya melihat bumbung rumah saya diterbangkan angin dan ribut semakin kuat. Ketika itu ada seorang budak lelaki berusia lingkungan 11 tahun yang melaungkan azan, Alhamdulillah, tak lama kemudian ribut pun reda.

“Saya bersyukur kerana terselamat daripada sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, kejadian itu tidak pernah berlaku sejak dia tinggal di situ.

“Sebelum ini, jika ada angin kuat pun tidaklah sampai berlaku ribut seperti hari ini, ini kejadian pertama yang berlaku mujur tiada penduduk yang tercedera,” katanya.

Seorang lagi penduduk mangsa ribut, Rosmawati Abdullah, 56, berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 5 petang ketika dia dan anak-anaknya berada di rumah.

Katanya, ketika itu dia terdengar bunyi bising dan apabila melihat ke luar rumah, dia ternampak beberapa keping atap zink rumah jirannya diterbangkan angin.

“Ribut melanda kawasan ini selama kira-kira 15 minit, saya bersyukur kerana tiada sesiapa yang cedera walaupun rumah kami rosak akibat ribut,” katanya. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya