Kerajaan NS sasar capai 40 peratus kadar kitar semula - Utusan Malaysia

Kerajaan NS sasar capai 40 peratus kadar kitar semula

AMINUDDIN Harun (dua dari kanan) ketika merasmikan Hab KITARecycle di Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan berhasrat untuk mencapai tahap kadar kitar semula sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2025. 

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, berdasarkan maklumat dari pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), kitar semula bagi tahun ini di negeri ini menunjukkan kadar sebanyak 33.17 peratus. 

“Kerajaan negeri sentiasa terbuka dan menyokong penuh segala usaha yang dilaksanakan bagi mencapai sasaran tersebut. Tidak perlu menunggu sehingga tahun 2025 untuk mencapai sasaran itu. 

“Saya dimaklumkan bahawa program KITARecycle di Negeri Sembilan mencatat hampir 7,000 ahli yang terdiri daripada sektor kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan orang awam. 

“Jumlah ini amat sedikit jika dibandingkan dengan jumlah isi rumah yang ada di negeri ini. Di Negeri Sembilan kita mempunyai 1.1 juta penduduk manakala, terdapat 700,000 penduduk yang tinggal di bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hab KITARecycle di Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di sini hari ini. 

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong, Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali dan Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn. Bhd., Mohd. Norlisam Mohd. Nordin. 

Sehubungan itu, Aminuddin menyeru kepada semua penduduk di negeri ini untuk mendaftar menjadi ahli KITARecycle dan melaksanakan aktiviti kitar semula.

Dalam pada itu kata beliau, kemudahan Hab KITARecycle SWM Environment itu merupakan yang pertama seumpamanya di Negeri Sembilan yang dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama MBS dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS).

Jelasnya, ia merangkumi tiga komponen utama iaitu Pusat Pandu Lalu KITARecycle, Pusat Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam dan Kenderaan Bergerak KITARecycle.

Sementara itu, Aminuddin memohon agar SWM Environment selaku syarikat konsesi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di negeri ini untuk dapat memperbanyakkan fasiliti Hab KITARecycle termasuk mewujudkan di semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

“Diharap pihak SWM Environment menyediakan lebih banyak lokasi yang sesuai bagi memudahkan masyarakat bersama mengitar semula barangan seperti plastik, kaca dan kertas.

“Program seperti ini dapat mendidik masyarakat selain menyokong hasrat kerajaan melaksanakan pengasingan sisa pepejal, sekali gus meningkatkan aktiviti guna semula dan kitar semula,” katanya. -UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.