Keputusan BN beri laluan ambil kira semua perkara

Keputusan BN beri laluan ambil kira semua perkara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) Kedah percaya keputusan dibuat kepemimpinan mereka di peringkat Pusat mengambil kira semua perkara demi kebaikan parti yang menyebabkan mereka akur dengan ‘langkah taktikal’ menarik diri daripada bertanding di Padang Serai. 

Pengarah Komunikasi BN Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, walaupun keputusan itu mendapat pelbagai reaksi daripada rakyat, namun, pihaknya percaya toleransi ditunjukkan amat diperlukan bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran rakyat dapat terus dipertahankan khususnya apabila Kerajaan Perpaduan sudah terbentuk. 

Pada masa sama, katanya, aspirasi BN tetap sama dalam apa jua keadaan iaitu mahu melihat nasib rakyat terus dibela, Islam dimartabatkan dan dijaga serta keharmonian negara terus dipelihara. 

“Kemelut pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memberi lembaran baharu kepada kita dan rakyat inginkan kerajaan yang cukup stabil bagi memastikan Malaysia terus bergerak ke depan khususnya untuk mendepani ancaman krisis ekonomi global tahun depan. 

“Dalam situasi ini, kita semua sedar Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berdaya saing serta mempunyai hala tuju serta dasar ekonomi jelas bagi tempoh lima tahun mendatang. Kecelaruan kerajaan dalam lima tahun ini pastinya akan merencatkan segala usaha untuk kita menghadapi krisis ekonomi global ini. 

“Justeru, kerjasama yang baik dan toleransi bagi mengukuhkan Kerajaan Perpaduan ini amat penting dalam usaha mewujudkan suasana politik yang stabil serta mengekalkan kemampanan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam satu ceramah bersama beberapa pimpinan Pakatan Harapan (PH) semalam mengumumkan keputusan BN untuk memberi laluan kepada Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Padang Serai. 

Menurut Jamil Khir, ketetapan itu diambil setelah mendengar nasihat pimpinan atasan terutamanya Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan selepas melihat laluan diberikan PH kepada BN untuk menjadi Menteri Besar di Pahang serta bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.

Mengulas lanjut, Shaiful Hazizy berkata, langkah untuk mewujudkan suasana politik stabil serta berusaha mengekalkan kemapanan ekonomi melalui pengukuhan Kerajaan Perpaduan yang dilaksanakan kini adalah sesuatu yang bersesuaian dengan mandat dan amanah diberikan rakyat dalam PRU lalu. 

“Insya-Allah, demi kestabilan dan kemakmuran negara serta seluruh rakyat, saya menyeru agar seluruh jentera dan pengundi BN untuk terus membantu dalam memastikan Kerajaan Perpaduan dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ini dapat membawa manfaat besar kepada rakyat dan negara,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya