Antara kisah kejayaan yang dapat dijadikan contoh buat semua pesalah Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) adalah melalui kisah adik Ariff (bukan nama sebenar). Setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Ariff melanjutkan pengajian di sebuah kolej di utara tanah air. Namun disebabkan kesempitan hidup, Ariff mengambil keputusan menamatkan pengajian dan bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan RM900 sebulan bagi membantu keluarga.
Hampir keseluruhan pendapatan diberikan kepada ibunya untuk menampung perbelanjaan keluarga. Terpengaruh dengan faktor persekitaran menyebabkan Ariff terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan dijatuhi hukuman PKM sebanyak 180 jam agregat dalam tempoh dua tahun diatas kesalahan dibawah seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Sepanjang menjalani PKM, Program Kerjaya (Asas Kemahiran Pengendalian Perancah Scaffolding) dengan kerjasama Institut Kemahiran Belia Negara yang di ikuti membuka matanya untuk menceburkan diri dalam bidang kemahiran.
Tamat PKM dengan dorongan serta semangat yang diberikan Pegawai JKM, Ariff mengikuti kursus di Akademi Binaan Malaysia (ABM).
Setelah tamat pengajian, Ariff ditawarkan bekerja di sebuah syarikat terminal perindustrian terkemuka tanah air sebagai seorang Scaffolder dengan pendapatan sebanyak RM4,500 sebulan. Ariff terus memajukan diri dan kini Ariff menjadi tonggak menggalas peranan sebagai ketua keluarga setelah ayahnya meninggal dunia.
Ikhtibar juga boleh diambil daripada kisah adik Kamil. Setelah kematian ayahnya, ibu berkahwin lain dan Kamil dibesarkan oleh neneknya Saodah. Minat mendalam dalam bidang permotoran mendorong Kamil bekerja sebagai pembantu di kedai membaiki motosikal setelah tamat SPM. Jalan raya baginya seperti litar lumba, motosikal yang ditunggang Kamil meluncur laju tanpa mengira masa. Akibatnya dia dijatuhi hukuman PKM 60 jam agregat dalam tempoh tiga bulan di bawah seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan. Hukuman di bawah seliaan JKM itu membuka lembaran baharu buatnya apabila JKM menawarkan Geran Pelancaran berjumlah RM2,700 untuk memulakan perniagaan.
Kini Kamil berjaya memiliki bengkel motosikalnya sendiri dan menjadi kebanggaan neneknya.
Sejak pelaksanaan PKM di Malaysia pada tahun 2008, pihak JKM telah membantu ramai pesalah menjalani proses pemulihan dalam masyarakat.
Kedua-dua kisah ini adalah antara cebisan bukti komitmen JKM dalam mengembalikan kefungsian sosial pesalah.
HALA TUJU PKM
Dalam memperkasakan penyampaian perkhidmatan seiring kemajuan teknologi, JKM telah membangunkan dan melaksanakan Sistem Maklumat Perintah Khidmat Masyarakat (eCSO) Fasa 1 pada tahun 2021 bagi mewujudkan pangkalan data lengkap yang boleh dijadikan rujukan pelbagai jabatan dan agensi. Setelah tamat pembangunan sistem ini pada Fasa 2 dan 3, sistem ini akan digunakan sepenuhnya pada tahun 2024. Penggunaan sistem ini mampu menjadi medium pengurusan dan penyeliaan pelaksanaan PKM dengan lebih berkesan dan telus.