Johor bentang belanjawan lebihan, peruntuk RM1.73 bilion

Johor bentang belanjawan lebihan, peruntuk RM1.73 bilion

ONN HAFIZ GHAZI (dua kiri) menunjukkan dokumen Belanjawan Johor 2023 sebelum membentangkannya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini membentangkan Belanjawan Johor 2023 lebihan bertemakan ‘Maju Johor Makmur Bersama Rakyat’ melibatkan peruntukan berjumlah RM1.73 bilion.

Beliau berkata, dalam memastikan perbelanjaan itu mencapai matlamat untuk meningkatkan sektor ekonomi dan pembangunan negeri, pihaknya menggariskan enam teras utama.

Belanjawan itu merupakan kesinambungan perjuangan bagi memartabatkan pertubuhan ekonomi Johor yang gemilang sejak zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar demi kesejahteraan 3.28 juta rakyat negeri ini.

“Pada tahun 2023, unjuran hasil kerajaan Johor adalah sebanyak RM1,734.18 juta manakala unjuran perbelanjaan adalah sebanyak RM1,731.74 juta. Angka ini menunjukkan Belanjawan 2023 merupakan belanjawan lebihan (surplus) berjumlah RM2.44 juta.

“Sejumlah RM1,126.74 juta diperuntuk bagi tujuan perbelanjaan mengurus meliputi Emolumen (RM559.54 juta), Perkhidmatan dan Bekalan (RM316.73 juta), Aset (RM27.86 juta), Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap (RM209.37 juta) dan lain-lain perbelanjaan (RM13.24 juta),” katanya semasa membentangkan Belanjawan Johor 2023 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Pembentangan Belanjawan Johor 2023 ini merupakan belanjawan pertama Onn Hafiz selaku Menteri Besar Johor setelah mendapat mandat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), Mac lalu.

Menerusi pembentangan belanjawan berkenaan, Onn Hafiz turut memperkenal Agenda Maju Johor yang menggariskan enam teras utama dalam memastikan visi menjadikan Johor negeri maju menjelang 2030 menjadi realiti.

“Enam teras dalam urus tadbir Belanjawan 2023 ialah Urus Tadbir Kerajaan, Pembangunan Ekonomi, Jaringan Sosial, Kemudahan dan Keperluan Asas, Keselamatan, Kebersihan dan Alam Sekitar serta Orang Muda Johor.

“Belanjawan Johor ini dirangka dengan mengambil kira 3.8 juta rakyat Johor di mana suara hati, jiwa dan minda mereka kita selami bersama keadaan dan situasi semasa.

“Kita berada dalam keadaan ekonomi yang mencabar (tahun 2023). Apa yang penting adalah kita perlu menyediakan perancangan ekonomi yang mampan, berdaya tahan serta simpanan yang mencukupi bagi menghadapi pelbagai cabaran mendatang kerana Malaysia tidak terkecuali daripada berdepan impak yang sama,” jelasnya.

Tegasnya, ketidaktentuan ekonomi global itu tentunya memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara termasuk negeri Johor yang mengamalkan ekonomi terbuka.

Belanjawan Johor 2023 merupakan belanjawan lebihan pertama selepas dua tahun berturut-turut mempersembahkan belanjawan defisit, iaitu bagi tahun 2021 dan 2022.

Kali terakhir kerajaan Johor membentangkan belanjawan lebihan ialah menerusi Belanjawan Johor 2020 pada November 2019. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya