Janggal lantik Zahid sebagai TPM -Tun M

Janggal lantik Zahid sebagai TPM -Tun M

TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan tidak berpegang kepada kedaulatan undang-undang kerana melantik Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang kini berdepan kes mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tindakan Anwar melantik Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu adalah sesuatu yang janggal dan tidak memungkinkan usaha kerajaan membersihkan negara daripada amalan rasuah dan kleptokrat.

“Ya, betul belum dihukum, tetapi, orang ini sudah dihadapkan ke mahkamah, kalau kita ada orang sebegini jadi pemimpin, akan rosaklah negara kita. Saya berpendapat, kalau kita nak bersihkan negara kita, tidak boleh pilih orang yang semua orang berpendapat dia seorang yang melakukan jenayah.

“Jadi, saya hairan bagaimana Anwar boleh pilih orang ini walaupun dia pemimpin parti, tetapi, dia menghadapi tuduhan di mahkamah. Ya, betul tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Tetapi kalau dia dihadapkan dengan satu-satu kes itu, sudah menunjukkan dia (Ahmad Zahid) tidak layak jadi pemimpin,” katanya melancarkan buku 40 tahun Dasar Pandang ke Timur di ibu negara hari ini.

Ahmad Zahid dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Anwar dalam pengumuman barisan 28 anggota Kabinet kerajaan perpaduan pada 2 Disember lalu.

Mahkamah Tinggi pada 24 Januari lalu memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie bagi semua tuduhan terhadap Ahmad Zahid yang juga pengasas yayasan terbabit selepas membuat penilaian maksimum terhadap bukti yang dikemukakan pendakwaan.

Prosiding bela diri Ahmad Zahid yang berjalan sehingga 2 November lalu, ditangguhkan hingga disambung semula pada Januari depan.

Ahmad Zahid, 68, dihadapan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya