Hormati titah Raja-Raja Melayu

Hormati titah Raja-Raja Melayu

Nantha Kumar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua ahli politik diminta menghormati titah pandangan Majlis Raja-Raja Ke-260 kelmarin, agar berhenti membangkitkan isu perkauman atau agama dengan tujuan menghasut rakyat.

Pengarah Eksekutif Yayasan Era Suria, R. Nantha Kumar berkata, sudah sampai masanya golongan berkenaan memberi tumpuan memulihkan ekonomi negara daripada berpolitik tanpa henti.

Menurutnya, sebagai ahli politik, golongan tersebut perlu berhati-hati serta bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengganggu gugat keharmonian negara.

“Malaysia sudah lama menjadi model kepada negara-negara lain sebagai sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan bangsa serta kita sentiasa berpegang teguh kepada lima prinsip Rukun Negara agar negara yang disayangi ini terus aman dan harmoni.

“Sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelbagai kaum kami amat menyokong saranan Raja-Raja Melayu dan semua pihak perlu berhenti berpolitik menggunakan isu perkauman dan agama dengan memberi tumpuan membangunkan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, isu perkauman sepatutnya tidak wujud selepas negara mencapai kemerdekaan 65 tahun dan perpaduan yang diwariskan oleh nenek moyang kita perlu dikekalkan sampai bila-bila.

“Saya juga yakin, rakyat Malaysia secara amnya sudah muak dengan politik yang berkisarkan agama dan kaum.

“Rakyat hanya menginginkan sebuah negara yang ditadbir dengan baik serta dapat membangunkan pelbagai sektor agar kehidupan dapat ditambah baik pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana ahli politik yang masih memainkan isu perkauman dan agama meskipun ditegur keras oleh Majlis Raja-raja.

Katanya, semua ahli politik perlu menghormati serta mentaati titah Raja-Raja Melayu dan memberi tumpuan menyatukan rakyat yang sengsara selepas pandemik Covid 19 serta kenaikan kos sara hidup.

“Cukuplah berpolitik, kalau hendak berpolitik tunggulah Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU 16) lima tahun lagi, sekarang tumpukan pada pembangunan dan perpaduan negara.

“Kita juga meminta agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan kata-kata berbaur hasutan di media sosial.

“Kita tidak mahu hanya dengan permohonan maaf sahaja, PDRM perlu menunjukkan ngauman sang saka biru tanpa berpihak mana-mana dalam mendaulatkan undang-undang yang termaktub dalam perlembagaan negara,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.