Hindar agenda politik dalam pendidikan

Hindar agenda politik dalam pendidikan

ISU kekurangan sekolah yang membawa kepada kepadatan pelajar adalah antara isu yang masih tidak dapat diselesaikan sejak sekian lama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agenda politik tidak wajar diheret ke dalam sektor pendidikan negara yang mengakibatkan dasar-dasar dan pelan yang sudah dirangka tergendala atau dibatalkan setiap kali berlaku pertukaran menteri dan parti yang memerintah.

Sebaliknya, tokoh-tokoh pendidikan berpendapat, pelan dan dasar pendidikan negara yang dirintis selama ini tidak perlu dirombak kerana ia sememangnya dirangka ke arah kemenjadian murid dan pelajar berkualiti sejajar pendidikan abad ke-21.

Setiausaha Agung Kesa­tuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, Menteri Pendidikan yang baharu, Fadhlina Sidek perlu meneruskan ke­sinambungan dasar terdahulu, namun perlu melakukan beberapa penambahbaikan untuk atasi segala kelemahan yang ada.

SIKAP

Katanya, Menteri Pendidikan juga diminta tidak meneruskan sikap menteri sebelum ini yang enggan bertemu dengan persatuan pendidik termasuk NUTP bagi membincangkan kelemahan dan masalah di peringkat bawahan.

“Dalam soal ini, adalah penting engagement (hubungan) antara Menteri Pendidikan dan NUTP untuk kita bersama-sama menyelami apakah isu yang berlaku sama ada di peringkat atasan atau bawahan kementerian,” katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, Fadhlina perlu melihat empat keutamaan untuk menyelesaikan masalah pendidikan yang membelenggu bukan sahaja warga pendidik dan murid tetapi juga ibu bapa.

Katanya, empat perkara itu adalah penyelenggaraan sekolah, kokurikulum, latihan guru dan hubungan dengan pihak luar.

“Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 masih terdapat baki tiga tahun lagi, jadi tampuk kepimpinan baharu Kementerian Pendidikan hendaklah mengenal pasti perancangan yang belum dilaksanakan tanpa merangka satu perancangan atau dasar yang baharu.

KEBERKESANAN

“Jika kita buat dasar yang baharu, akhirnya kita tidak ke mana tanpa melihat sudut keberkesanan kepada pembangunan pendidikan negara,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Program Pertemuan Mahabbah Perdana Menteri bersama Ulama dan Asatizah berkata, kerajaan perlu menyelamatkan keadaan bagi meningkatkan darjat orang Melayu dan memartabatkan agama Islam di negara ini.

Anwar berkata, beliau yakin hasrat dan impian ini dapat dilakukan dengan pimpinan yang mempunyai ketegasan melalui sistem pendidikan.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin mengingatkan kepada kepimpinan Kementerian Pendidikan untuk memberikan perhatian kepada beberapa aspek termasuk mengurangkan memberi tumpuan kepada teknologi, sebaliknya lebih kepada pedagogi.

Perkara itu, jelas beliau, amat penting ekoran dalam suasana pendidikan yang kian mencabar dan perubahan yang terlalu pantas.

Katanya, pihak berwajib hendaklah melonggarkan tumpuan pada akauntabiliti dan sebaliknya tumpu kepada pembinaan kapasiti.

“Tinggalkan penyelesaian individualistik dan memihak kepada usaha kolaboratif dan mengadakan strategi padu dan bukan terpisah-pisah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN