KLUANG: Berikutan bekalan minyak masak peket yang terhad, seorang peniaga runcit di Pasar Awam Kluang hanya menjual barangan itu kepada golongan penjaja dan kedai makan.
Malah, Anuar Othman ini tidak mengambil sebarang keuntungan apabila bekalan minyak masak peket diterimanya berharga RM2.50 turut dijual pada harga sama kepada pembeli.
Katanya, bekalan yang diterima juga terlalu sedikit, iaitu 85 peket seminggu, namun dalam masa tiga hari sudah habis terjual.
“Saya cuba mendapatkan bekalan daripada sebuah syarikat ejen, namun, dimaklumkan hanya boleh membuat tempahan pembelian sekiranya mempunyai lesen menjual minyak masak peket.
“Syarat ini agak pelik kerana saya sudah ada lesen menjual minyak masak, kenapa perlu ada lesen yang berlainan antara minyak masak peket dan minyak masak botol,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, hari ini.
Justeru, Anuar mahu pihak berkaitan memandang berat isu itu kerana menyusahkan peruncit selain membebankan urusan untuk mendapatkan lesen.
Selain minyak masak, bekalan yang turut sukar diperoleh sekarang adalah gula, namun tidak mengetahui punca sebenar isu tersebut.
“Saya amat berharap tindakan sewajarnya dapat dilakukan oleh pihak berkuasa sebelum semakin meruncing.
“Kerajaan juga digesa mengambil tindakan proaktif mengatasi masalah kenaikan harga barang yang belum ada tanda-tanda untuk turun sekarang ini,” katanya.-UTUSAN