Hamzah sifatkan 'Kabinet kalut'

Hamzah sifatkan ‘Kabinet kalut’

HAMZAH Zainuddin berucap pada majlis kesyukuran Parlimen Larut di Dewan Terbuka Tapak Bazar Ramadan di Selama hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Pelantikan menteri dalam Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri semalam disifatkan sebagai kabinet ‘kalut’ apabila ahli Parlimen yang menang tidak dilantik manakala yang kalah pula mendapat tempat.

Setiausaha Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini jelas menunjukkan apa yang dijanjikan semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), hanya  meraih undi.

“Dahulu kita fikirkan lain tapi lain pula yang dibuatnya. Ini jelas membuktikan apa yang mereka cakap semasa PRU15 hanyalah untuk mencari undi dan kini tidak menunaikan janji.

“Saya kasihan melihat sebilangan ahli Parlimen dalam kalangan mereka yang bekerja bersungguh-sungguh sewaktu kempen dan menang, namun, tidak dilantik manakala yang kalah pula dilantik memegang jawatan, sebab itulah saya katakan Kabinet kalut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis kesyukuran Parlimen Larut di Dewan Terbuka Tapak Bazar Ramadan Selama di sini hari ini.

Mengenai pelantikan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, apa yang menjadi persoalan ialah tuduhan di mahkamah yang dihadapi Pengerusi BN itu.

Menurutnya, sama ada Ahmad Zahid akan terlepas daripada tuduhan di mahkamah, itu terpulanglah kepada mereka.

“Kalau mereka sudah ada perjanjian untuk melepaskan dia, buatlah, apa salahnya. Kalau mereka boleh buat untuk melepaskannya, mereka hebat dan itu menunjukkan mereka tahu bagaimana untuk melepaskan orang bersalah, kalau bersalahlah.

“Sekiranya itu terjadi, rakyat akan menghukum kemungkaran yang dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata, PN berikrar untuk menjadi pembangkang yang lebih telus dan sentiasa memperjuangkan nasib rakyat.

Menurutnya, walau berada di pihak pembangkang, PN tetap akan bertanggungjawab membantu membentuk negara ini dengan lebih baik.

“Pengundi yang memilih PN janganlah merasa kecewa,sentiasalah mengamalkan sikap bersabar.

“Semasa berkempen, kami selalu kata akan sentiasa menentukan masa depan kita secara jujur dan ikhlas dan apa juga yang berlaku di hadapan kita ini belum ada garis penamatnya lagi,” katanya. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.