GOMBAK: Bersempena kempen ‘EB Untuk Anda’ anjuran syarikat pengeluaran makanan sejuk beku, EB Frozen Foods, sebanyak 100 pek makanan diagih kepada semua guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Melawati di sini hari ini.
Pegawai Pemasaran EB Frozen Foods, Nurul Fatihah Jamil berkata, tujuan pengagihan makanan tersebut adalah sebagai inisiatif untuk memberi penghargaan kepada barisan hadapan yang berkorban untuk negara.
Menurutnya, agihan makanan tersebut juga bersempena pelancaran siri produk terbaharu syarikat iaitu EB Alaska Pollock Fillet, Alaska Pollock Finger, Crispy Battered Fried Shrimp danCheeseStick.
“Dengan melakukan aktiviti seperti ini, syarikat kami dapat memperkenalkan lagi jenama produk sejuk beku keluaran EB Frozen Food dengan lebih meluas. Di samping itu, kami berpeluang dapat menghargai jasa- jasa mereka yang berada di barisan depan, sebagai pendidik dan ‘adiwira’, ” katanya.
Majlis tersebut disempurnakan dengan pemberian sijil penghargaan daripada EB Frozen Foods atas sumbangan dan kerjasama daripada sekolah tersebut.
Sumbangan yang diberikan kepada warga pendidik di sekolah itu adalah berbentuk pek makanan yang berisi masakan berasaskan produk EB Frozen Foods iaitu Alaska Pollock beserta minuman dan juga buah-buahan.
EB Frozen Foods bakal melaksanakan agihan makanan di balai polis dan juga balai bomba dan penyelamat yang terpilih bagi menghargai jasa polis, anggota bomba dan penyelamat yang sanggup mengorban masa demi kemakmuran dan keselamatan rakyat di negara ini.
Dalam pada itu, Nurul Fatihah berkata, pihaknya berharap agar inisiatif tersebut dapat diteruskan dan dapat memberi semangat kepada para guru,anggota polis dan anggota bomba dan penyelamat Malaysia.
Beliau juga berharap program ini dapat memberi inspirasi kepada masyarakat untuk terus menghargai jasa-jasa mereka yang mendidik dan berjuang untuk bangsa dan negara.
Sementara itu, Guru Besar SK Taman Melawati, Sarifah Mohamed, meluahkan rasa berbesar hati dan berterima kasih dengan pengagihan makanan tersebut.
Katanya, beliau amat teruja dengan aktiviti seperti ini kerana jasa-jasa cikgu di sekolah tersebut dihargai.-UTUSAN