Dua sekawan 'berkhemah' dalam kereta jaga 14 ekor lembu

Dua sekawan ‘berkhemah’ dalam kereta jaga 14 ekor lembu

RAIHAN Mohammad (kiri) bersama rakannya Afifidaus Mat Yusof memantau lembu ternakan mereka dengan ‘berkhemah’ di dalam kereta jenis Proton Saga selepas banjir melanda Kampung Serongga, Pasir Mas, Kelantan-UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Dua sekawan sanggup ‘berkhemah’ dalam kereta untuk memantau sebanyak 14 ekor lembu peliharaan mereka yang bernilai lebih RM50,000 daripada dicuri apabila Kampung Serongga dilanda banjir sejak lima hari lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Raihan Mohammad, 23, bersama Afifidaus Mat Yusof, 16, sempat memindahkan semua lembu baka Charolais dan Limousin ke tempat tinggi sejak tiga hari lalu apabila kandang haiwan tersebut dinaiki air setinggi 0.3 meter.

Raihan berkata, dia mengawasi lembunya 24 jam secara bergilir-gilir dengan Afifidaus dengan duduk di dalam kereta di kawasan lapang yang menempatkan haiwan ternakan itu.

“Saya dan Afifidaus duduk di dalam kereta jenis Proton Saga setiap masa untuk berteduh daripada hujan selain memantau lembu di kawasan tanah lapang.

“Sekiranya saya keluar untuk memotong rumput untuk makanan lembu, Afifidaus akan berjaga di sini. Kami terpaksa mengawasi lembu-lembu ini kerana bimbang ia dicuri, malah, harga juga mahal berbanding lembu biasa,” katanya ketika di temui di Kampung Serongga di sini kelmarin.

Raihan memberitahu, dia mengakui bahawa sudah penat dengan situasi banjir yang berlaku setiap tahun, namun, tetap perlu menjaga lembu-lembu itu ekoran bimbang ia hilang.

Katanya, semasa banjir tahun sebelum ini, dia memasang khemah untuk memantau lembu-lembu peliharaan, namun ia mudah tumbang sekiranya berlaku ribut dan hujan lebat.

“Semasa musim tengkujuh ini, saya cuti buat sementara waktu daripada pekerjaan memandu jengkaut kerana mahu fokus menjaga lembu-lembu.

“Kebiasaannya, banjir akan surut dalam tempoh seminggu. Selagi bah tidak surut, di sinilah tempat tinggal saya dan Afifidaus,” ujarnya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.