PETALING JAYA: Tan Sri Annuar Musa dan Tan Sri Muhyiddin Yassin antara individu akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan jutaan ringgit diserahkan Perikatan Nasional (PN) kepada UMNO ketika Pilihan Raya Negeri Sabah, dua tahun lalu.
Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, keterangan bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Pengerusi PN itu akan diambil dalam masa terdekat selepas kertas siasatan berhubung dakwaan itu selesai disiasat SPRM.
“SPRM telah memulakan siasatan berhubung wang PN diserah kepada UMNO tetapi tidak dapat dipastikan bila tarikh kedua-dua tokoh politik itu akan dipanggil,” kata sumber.
Pada 21 November lalu, Annuar dalam hantaran video yang dimuat naik di aplikasi TikTok mendakwa menemui Muhyiddin dan memberitahu UMNO kehabisan wang untuk mengharungi PRN Sabah.
Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh itu kemudian mendakwa, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri telah memberi puluhan juta wang kepada UMNO.
“Saya loncat naik atas kapal terbang pergi ke Sibu…Tanya Muhyiddin, saya masuk dalam bilik tidur dia (Muhyiddin) beritahu UMNO habis duit di Sabah, tak cukup duit.
“Berpuluh juta Muhyiddin bagi membantu UMNO Sabah,” kata Annuar menerusi rakaman di TikTok yang tersebar.
Dalam pada itu, usaha Utusan Malaysia mendapatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki untuk mengesahkan perkara itu, belum mendapat maklum balas.- UTUSAN










