PETALING JAYA: Calon-calon timbalan menteri akan dimuktamadkan dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau memaklumkan perkara itu dalam Facebook miliknya selepas hampir seminggu pengumuman Kabinet pada 2 Disember lalu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa isu-isu rakyat terutamanya masalah kos sara hidup harus diberi tumpuan dan diselesaikan sesegera mungkin dalam mesyuarat Kabinet mingguan pada hari ini.
“Alhamdulillah, mesyuarat Kabinet mingguan pagi tadi berjalan dengan suasana yang harmoni dan produktif. Saya menegaskan bahawa isu-isu rakyat terutamanya masalah kos sara hidup harus diberi tumpuan dan diselesaikan sesegera mungkin.
“Insya-Allah, calon-calon timbalan menteri juga akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya.
Pada minggu lalu, Anwar mengumumkan pembentukan Kabinet yang disertai 28 orang termasuk beliau sendiri sebagai Menteri Kewangan.
Dalam pengumuman itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof masing-masing dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri di bawah kerajaan perpaduan.
Setakat ini, kerajaan perpaduan disertai PH yang mempunyai 82 kerusi dan diikuti BN (30), GPS (23), dan Gabungan Rakyat Sabah (enam) serta disokongan parti-parti lain sekali gus kekuatan kini hampir mencecah dua pertiga ahli Parlimen.
Anwar, 75, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu, hampir seminggu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada mana-mana parti politik mahupun gabungan berjaya memperoleh jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan.-UTUSAN










