Calon BN DUN Tioman selesai mengundi

Calon BN DUN Tioman selesai mengundi

MOHD. JOHARI Hussain selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Pontian di Rompin, Pahang. -UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF

ROMPIN: Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Datuk Seri Mohd. Johari Hussain mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Pontian di sini.

Beliau tiba di pusat pengundian tersebut kira-kira pukul 9.45 pagi.

Mohd. Johari yang mengundi di saluran dua selesai menunaikan tanggungjawab kira-kira pukul 9.55 pagi dan kemudian turut beramah mesra dengan pengundi lain di pusat mengundi berkenaan.

Kerusi DUN Tioman menyaksikan pertandingan lima penjuru PRU15 yang diadakan semula hari ini ekoran kematian calon Perikatan Nasional (PN), Md. Yunus Ramli yang meninggal dunia di Hospital Rompin akibat komplikasi jantung pada 19 November lalu.

Ketua Muslimat Pas cawangan Pianggu, Nor Idayu Hashim, 35, dinamakan sebagai calon PN bagi kerusi berkenaan.

Calon lain membabitkan Mohd. Johari selaku penyandang, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Mohd. Fadzli Mohd. Ramly dari Pakatan Harapan (PH).

DUN Tioman mempunyai 28,465 pengundi termasuk 262 pengundi awal dan tiga pengundi pos.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 3 Disember lalu untuk undi awal dan pengundian hari ini. –UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN