Barisan terkuat Ghana mahu langsai hutang lama

Barisan terkuat Ghana mahu langsai hutang lama

Ghana mempunyai misi besar menentang Uruguay esok. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Pemain Ghana telah melupakan kekecewaan mereka apabila disingkirkan ‘secara kejam’ oleh Uruguay pada suku Akhir Piala Dunia 2010 namun, tetap menganggap pertemuan terakhir peringkat Kumpulan H esok sebagai misi membalas dendam.

Mesej jelas telah disampaikan dalam saingan Piala Dunia 2022 ini apabila Ghana dijangka menurunkan barisan terkuat mereka dalam misi untuk membalas apa yang telah dilakukan oleh Uruguay pada 12 tahun lalu.

Pada ketika itu, seluruh dunia berang selepas Luis Suarez dengan sengaja menghalang bola dengan tangan pada masa tambahan di saingan suku akhir sekali gus mencetuskan kontroversi terbesar di Afrika Selatan.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 ketika itu dan Suarez menghalang tandukan Dominic Adiyah yang tepat ke gawang dan akibat tindakan itu, bekas penyerang Liverpool itu dibuang padang.

Bagaimanapun, tindakannya itu memberi keuntungan kepada Uruguay apabila sepakan penalti yang diambil Asmoah Gyan terkena palang dan Suarez meraikannya dengan meriah ketika di terowong menuju ke bilik persalinan.

Ketidakadilan terus melanda Ghana apabila mereka tewas dalam penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa penuh permainan.

Pertahanan kiri Ghana, Gideon Mensah antara individu tampil bersuara tentang tragedi itu dan menganggap para pemain mempunyai sentimen berbeza dan pandangan tersendiri.

“Kami tidak ingin membalas dendam namun, bagi negara dan beberapa individu, ya, begitu (balas dendam).

“Ia bukan perasaan yang baik untuk kami. Kami menjangkakan untuk menang apabila kami mendapat penalti apabila bola terkena tangan, jadi ia tidak bagus untuk kami.

“Bagi pemain sekarang, ia sama seperti permainan lain. Kami memerlukan tiga mata. Tidak mengapa jika orang mengatakan itu balas dendam. Kami masih perlu mendapatkan mata,” katanya.

Pemain tengah Arsenal, Thomas Partey sedang bermain dalam bola sepak bawah 21 tahun ketika insiden itu berlaku dan dia percaya bahawa sebarang perbincangan tentang balas dendam perlu diletakkan di tempat tidur.

“Sejarah sentiasa ada. Semua orang sangat sedih pada masa itu. Ia sangat sukar. Ini adalah generasi baru. Kami mempunyai peluang lagi dan kami perlu melupakan apa yang berlaku. Ini masa baharu,” katanya.

Ghana dan Uruguay akan bertembung dalam perlawanan terakhir Kumpulan H malam esok dan kedua-dua pasukan dalam misi wajib menang untuk memastikan mereka layak ke pusingan 16 terbaik di Piala Dunia 2022.

Sementara itu, jurulatih Uruguay Diego Alonso, berkata, sentimen dan peristiwa 12 tahun lalu akan dilupakan oleh kedua-dua pasukan ketika beraksi di atas padang esok.

“Ia adalah cerita yang berbeza untuk kedua-dua pasukan. Kami berdua akan pergi dan berusaha untuk layak ke 16 terbaik. Esok akan menjadi penentu tetapi ia adalah cerita yang sangat berbeza dengan apa yang berlaku 12 tahun lalu.”

Untuk meneruskan kemaraan, Alonso mengakui pasukannya perlu bermain lebih baik daripada yang mereka lakukan setakat ini, ketika seri 0-0 dengan Korea Selatan dan kekalahan 0-2 kepada Portugal.

“Pasukan perlu lebih tenang dan lebih memotivasikan diri untuk bermain, seperti yang kami lakukan pada separuh masa kedua menentang Portugal. Kami perlu mengambil risiko untuk menjadi pasukan yang berani,” kata Alonso. – Agensi/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.