PUTRAJAYA: Selepas lapan hari mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi mengumumkan senarai 28 menteri menganggotai Kabinet kerajaan perpaduan.
Dalam pengumuman tersebut, Anwar melantik dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mewakili Barisan Nasional (BN) dan Datuk Seri Fadilah Yusoff dari Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Ia sekali gus menyaksikan keputusan kali pertama dalam sejarah negara apabila dua Timbalan Perdana Menteri dilantik dalam pasukan kepimpinan kerajaan.
Anwar turut memegang jawatan Menteri Kewangan manakala Ahmad Zahid turut ditugas menerajui Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, manakala Fadillah turut memegang Kementerian Perladangan dan Komoditi selain Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Na’im Mokhtar dilantik sebagai Menteri Agama.
Selain Anwar, Kementerian Kewangan turut dibantu oleh beberapa penasihat yang tidak akan mengambil upah dengan diketuai oleh Penasihat Petronas, Tan Sri Hassan Marican.
Anwar berkata, Jemaah Menteri yang diumumkan mewakili kerajaan perpaduan daripada pelbagai parti.
“Pemilihan barisan Kabinet ini ada beberapa prinsip diterima pakai merangkumi semua kekuatan induk parti iaitu Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai jumlah undi terbanyak dan ahli parlimen terbesar.
“Selepas PH, diikuti Barisan Nasional (BN) dan GPS yang mana ketiga-tiga tonggak parti ini sepakat bukan saja membentuk Jemaah Menteri tetapi membentuk dasar utama dalam soal tadbir urus baik dan keutamaan memacu pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan beban rakyat dari segi kos sara hidup,” kata beliau.
KEKUATAN
Menurut Anwar, kesepakatan tersebut melebarkan jaringan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan barisan-barisan akur yang sedia ada ini bermakna kekuatan kerajaan perpaduan dalam Parlimen sudah mencecah sekitar dua pertiga.
“Jadi dengan mandat ini, ia telah memberi keyakinan kita untuk membentuk barisan jemaah lebih padu dan bekerja sebagai satu pasukan dan menumpu pemerhatian dalam soal pemacuan pertumbuhan ekonomi yang segar dan menumpukan pemerhatian permasalahan rakyat,” katanya.
Anwar berkata, barisan timbalan menteri akan dilantik kemudian setelah barisan Jemaah Menteri mengangkat sumpah pada pukul 3 petang hari ini.
Isnin ini, beliau akan mengadakan mesyuarat khas bagi menentukan beberapa hala tuju dan kaedah baharu kerajaan baharu.
“Dalam jemaah menteri, petunjuk prestasi utama (KPI) diutamakan soal tatakelola dan isu yang boleh atau langkah harus diambil bagi meringankan benan rakyat, selain fokus utama pemacuan ekonomi.
“Penjimatan sebenar sekiranya dapat elak pembaziran mengurangkan perbelanjaan sia-sia, seperti saya sebut ia satu permulaan Jemaah Menteri kerajaan perpaduan dengan kekuatan penjawat awam diketuai Ketua Setiausaha Negara akan memastikan jaminan ini dilaksanakan,” katanya.- UTUSAN










