Bantuan Pusat: Kenyataan Rafizi hina rakyat Perlis - Utusan Malaysia

Bantuan Pusat: Kenyataan Rafizi hina rakyat Perlis

MOHD. SHUKRI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang mengaitkan Perlis sebagai negeri pertama memohon bantuan Kerajaan Persekutuan disifatkan sebagai  penghinaan kepada rakyat negeri ini.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, tindakan itu dianggap penghinaan buat rakyat negeri ini yang memilih Perikatan Nasional (PN) dan seolah-olah menggambarkan kerajaan Perlis meminta sedekah kepada kerajaan Persekutuan.

Menurut beliau, perkara itu sepatutnya tidak dipolitikkan dan Rafizi seharusnya lebih memahami konsep federalisme dalam pentadbiran kerajaan di negara ini.

“Ini merupakan satu penghinaan buat rakyat negeri Perlis yang telah memilih PN dan saya hadir berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu dalam suasana mesra dan harmoni,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-15 di sini hari ini.

Semalam Rafizi ketika membahaskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri mendakwa kerajaan Perlis pimpinan PN menjadi negeri pertama yang memohon bantuan daripada Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

PERTEMUAN

Timbalan Presiden PKR itu berkata demikian susulan daripada pertemuan Mohd. Shukri bersama Anwar pada 12 Disember lalu.

Mengulas lanjut, Mohd. Shukri berkata, pertemuan beliau bersama Anwar sebelum ini adalah atas jemputan dan bukannya daripada permohonan kerajaan negeri sendiri.

“Jadi saya amat berbesar hati atas jemputan itu dan bukannya saya mohon untuk jumpa Perdana Menteri.

“Itu sebabnya saya rasa cukup bangga dan hal ini tidak perlu dipolitikkan kerana perjumpaan Menteri Besar dan Perdana Menteri adalah perkara biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, menerusi pertemuan itu juga, kerajaan negeri memohon peruntukan pendahuluan untuk emolumen bagi tahun hadapan dan turut diluluskan oleh Perdana Menteri.

Tambah beliau, pihaknya juga meminta pertimbangan Perdana Menteri agar dapat meneruskan semula pengoperasian zon aliran bebas di Wang Kelian bagi merancakkan kembali aktiviti ekonomi di kawasan itu.

“Kita telah minta perkara ini kepada Perdana Menteri dan beliau akan meneliti terlebih dahulu mengenai pembukaan semula Wang Kelian,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya