Bagai padang jarak padang tekukur - Utusan Malaysia

Bagai padang jarak padang tekukur

Keadaan tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Hulu Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Kawasan perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Genting Highlands yang mengorbankan 24 nyawa setakat semalam dengan sembilan masih hilang bagaikan padang jarak padang tekukur.

Kawasan berkeluasan 255,000 meter persegi yang sebelum ini menawarkan tiga zon tapak perkhemahan kini hilang dari pandangan.

Apa yang dilihat ketika ini pasukan mencari dan menyelamat meneruskan operasi menjejaki sembilan lagi mang­sa selepas seluruh kawasan perkhemahan premium itu di­timbus 500,000 tan tanah pada pagi Jumaat lalu.

Wartawan Utusan Malaysia yang dibawa pasukan kese­la­matan melakukan tinjauan mendapati, kawasan tragedi itu amat menyedihkan kerana tiada lagi khemah-khemah sebaliknya diliputi runtuhan tanah dengan setengah-setengah kawasan berlumpur.

Wartawan dibawa dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dengan berjalan kaki menuju ke zon merah atau lokasi kejadian sejauh 300 meter dengan 100 meter lagi perlu berjalan menuruni bukit, selebihnya perlu mendaki.

LUMPUR

Setiba di tengah-tengah lokasi kejadian, dapat dilihat ‘lautan’ lumpur berketinggian paras lutut, sangat mencabar stamina dan mental bukan sahaja wartawan tetapi pasukan penyelamat yang semalam memasuki hari ketiga melakukan tugas-tugas di sini.

Setiap langkah dan lompatan perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana keadaan tanah yang berisiko dan dikhuatiri jika salah terpijak, boleh menyebabkan kaki tenggelam.

Dalam tinjauan tersebut, turut kelihatan enam buah kereta, kebanyakan kereta-kereta mewah yang rosak akibat dipenuhi lumpur dan ada yang ditimpa batu.

Dalam masa sama, ratusan bangkai ikan yang diternak di kolam ikan berdekatan Sektor B atau dinamakan Farmview ditemukan di kawasan kejadian runtuhan.

Disebabkan liputan kawasan ditimpa runtuhan tanah itu luas memaksa kebanyakan anggota penyelamat bekerja dalam tempoh 48 jam sejak hari pertama tragedi berlaku.

Raut wajah anggota penyelamat terserlah kepenatan selepas keluar dari zon merah, di samping baju dan seluar mereka yang diselaputi lumpur. Namun sehingga pukul 6 petang semalam, dalam keadaan seluruh kawasan itu diliputi kabus dan cuaca semakin sejuk, pencarian mangsa tidak menemukan sebarang hasil.

MENCARI

Pasukan pencari dan penyelamat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bergilir-gilir mencari mangsa.

Seorang anggota menyertai misi menyelamat itu berkata, kawasan perkhemahan di sini sangat indah dan disusuli cuaca dingin yang menarik minat orang lain melakukan aktiviti berekreasi.

Bagaimanapun, katanya, se­gala-galanya berubah sekelip mata apabila tiga zon perkhemahan tersebut ranap .

“Tragedi di Father’s Organic Farm adalah malapetaka besar selepas kejadian HighlandsTowers di Hulu Klang yang meragut 48 nyawa pada 11 Disember 1993,” kata anggota keselamatan yang tidak mahu dinamakan.

Sementara itu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) ketika dihubungi mendakwa, kegagalan mematuhi syarat nyata penggunaan tanah dan kelemahan penguatkuasaan antara punca kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor yang mengorbankan banyak nyawa.

Malah, banyak kem rekreasi dan chalet dibina di kawasan rizab sungai sehingga seolah-olah sungai itu menjadi hak milik mereka dan melarang orang awam ke situ melainkan pelanggan.
Pegawai SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, masalah itu bukan hanya berlaku di lokasi kejadian tetapi di banyak tempat di negara ini.

Dalam pada itu, seorang pengusaha tapak perkhemahan berkata, kejadian tanah runtuh tersebut turut menjejaskan pengusaha tapak perkhemahan lain seperti Sojuk Riverside yang terletak tidak jauh apabila lebih 3,000 pelanggannya membatalkan tempahan.

Nur Roslinda Mohd. Yusuf berkata, pembatalan yang dibuat kali ini lebih banyak dan drastik berbanding ketika pandemik Covid-19 terdahulu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN