fbpx

Annuar Musa tekad teruskan perjuangan demi rakyat, negara

ANNUAR Musa

PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa bertekad untuk meneruskan perjuangan demi rakyat dan negara selagi masih hidup.

Bagaimanapun, bekas Setiausaha Agung UMNO itu tidak menjelaskan secara terperinci platform perjuangan tersebut.

‘Saya amat bersyukur dengan perjalanan perjuangan saya untuk rakyat dan negara terutamanya di bumi Ketereh.

“Insya-Allah, perjuangan demi negara dan ummah akan sentiasa saya teruskan selagi hayat dikandung badan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu adalah antara tiga yang dilucutkan keahlian hasil mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu, semalam.

Selain Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu, Ahmad berkata, turut dilucutkan keahlian adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datin Seri Shamsiah Yassin.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, tindakan pelucutan keahlian itu adalah mengikut Fasal 10.6 Perlembagaan UMNO selepas ketiga-tiga mereka didapati melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO yang juga berkaitan tata etika ahli.-UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN