PUTRAJAYA: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menegaskan kekalahan tiga `orang kuat’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyebabkan Parlimen kehilangan pejuang rakyat berkaliber.
Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, mereka yang kalah itu ialah Datuk Mahfuz Omar, Khalid Samad dan Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa.
Menurut beliau, kehilangan ahli parlimen dalam pilihan raya di satu-satu kawasan perkara biasa kerana ia adalah pasang surut politik.
“Saya percaya mereka (ahli parlimen baharu) yang menjadi pengganti mampu menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan baik. Memanglah saya rasa kehilangan mereka di Parlimen terutamanya Khalid Samad yang agak lantang dan berani berhujah dalam pelbagai perkara yang dibahaskan.
“Insya-Allah, ahli parlimen baharu akan mampu berhujah dengan baik di Parlimen,” katanya kepada wartawan selepas sesi mengetip kad perakam waktu menteri sebagai tanda memulakan tugas secara rasmi di pejabatnya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tiga Naib Presiden Amanah yang tewas dalam PRU15.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, kemerosotan itu tidak mungkin kekal kerana ia boleh bertambah pada masa akan datang.
“Pasang dan surut dalam politik perkara biasa. Kini kita mengalami sedikit kemerosotan ahli parlimen dan akan datang, barang kali bertambah (bilangan ahli parlimen daripada Amanah).
“Dulu tahun 2004, Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri hanya tinggal satu kerusi, sekarang jadi Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya.- UTUSAN