KEMAMAN: Ketiadaan bekalan elektrik dalam tempoh hampir 24 jam bermula kelmarin di sekitar kawasan Geliga hingga ke Felda Neram dekat sini menjejaskan aktiviti penduduk dan peniaga di kawasan terlibat.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar kawasan Bandar Putra, Mak Lagam dan Kampung Paya Berenjut mendapati hampir keseluruhan kampung sunyi dan bergelap serta tiada premis perniagaan yang dibuka pada waktu malam.
Seorang peniaga restoran masakan Thailand di Bandar Putra, Nurazwa Abdullah, 38, berkata, dia terpaksa menutup kedainya lebih awal iaitu sekitar pukul 6 petang berbanding kebiasaannya hingga pukul 12 tengah malam.
“Kedai hanya dibuka separuh hari sebab susah nak meniaga ketika tiada elektrik. Saya hanya bergantung kepada lampu suluh dan lilin untuk bergerak dalam keadaan gelap.
“Barang basah seperti ikan dan ayam dalam peti sejuk beku, diletakkan air batu dalam jumlah yang banyak untuk memastikan semuanya tidak rosak dan kekal segar,” katanya ketika ditemui di kedainya di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Nurazwa berkata, dia menarik nafas lega apabila bekalan elektrik di kawasan itu kembali pulih awal pagi ini.
“Alhamdulillah, bekalan elektrik kembali pulih, dapat saya berniaga seperti biasa,” katanya.
Nur Zahirah Mustafa, 35, yang tinggal di Taman Banggol Permai, berkata, pengalaman berdepan dengan ketiadaan elektrik bagi tempoh lama dengan mempunyai anak yang masih kecil memberi cabaran dirinya dan suami, Azrul Iskandar, 36.
“Sukar untuk kami tidur malam dalam keadaan panas dan gelap. Dua anak saya yang berusia tiga tahun dan tujuh bulan tidak selesa tidur kerana kepanasan.
“Saya terpaksa tidurkan anak dalam kereta dan hanya masuk ke rumah selepas mereka tidur lena. Mujurlah hari ini bekalan elektrik kembali pulih, dapatlah anak saya tidur lena,” katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa memutuskan sementara bekalan elektrik di beberapa kawasan berikutan kawasan Pencawang Masuk Utama (PMU) di Kampung Fikri, dinaiki air akibat banjir hingga menjejaskan kira-kira 20,000 pengguna.-UTUSAN