KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa sukacita atas kejayaan kerjasama sulung antara syarikat pengeluar minyak dan gas negara dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Ini kerana menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, kerjasama Petronas Abu Dhabi Sdn Bhd dan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) itu membuktikan keupayaan syarikat Malaysia bersaing di peringkat global.
Malah, kejayaan tersebut secara langsung mencerminkan hubungan dua hala yang rapat antara Malaysia dan UAE di pelbagai peringkat.
Perjanjian bersejarah antara anak syarikat milik penuh Petronas dengan ADNOC itu melibatkan kerjasama meneroka dan menilai Blok 1 Luar Pesisir Bukan Konvensional yang meliputi kawasan konsesi 2,000km persegi di wilayah Al Dhafra.
Dalam pada itu, Tuanku turut berharap agar kerjasama tersebut dapat membuka lembaran baharu kerjasama strategik dalam pelbagai sektor antara kedua-dua negara, termasuk sektor ekonomi demi kepentingan dan kemakmuran bersama.
Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat menyaksikan Majlis Pemeteraian Perjanjian antara Petronas Abu Dhabi Sdn Bhd dan ADNOC di Abu Dhabi, semalam.
Turut hadir, Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, Menteri Industri dan Teknologi Maju UAE merangkap Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ADNOC, Dr Sultan Ahmed Al Jaber.
Selain itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz juga hadir serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik selain barisan kepimpinan tertinggi Petronas dan ADNOC.
Sebelum ini, Seri Paduka berkenan berangkat ke Abu Dhabi bagi melakukan kunjungan hormat ke atas Sheikh Mohamed atas pelantikan sebagai Presiden UAE yang baharu dan juga bagi memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan.
Sheikh Mohamed pula melakukan lawatan khas ke Malaysia atas persilaan peribadi Seri Paduka bersempena dengan Istiadat Pertabalan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai 2019.
Keakraban Seri Paduka dan Sheikh Mohamed telah terjalin sejak kedua-dua pemimpin itu bertemu lebih 40 tahun lalu di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom di mana kedua-dua pemimpin adalah rakan kolej di akademi tersebut pada 1978 dan 1979 dan persahabatan mereka terjalin hingga kini. –UTUSAN










