Adam Adli terus dikecam, diminta buktikan badan sukan terpalit

Adam Adli terus dikecam, diminta buktikan badan sukan terpalit rasuah

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menggesa Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim membuktikan dakwaannya bahawa badan sukan di negara ini terpalit dengan gejala rasuah.

Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, sekiranya Adam Adli gagal membuktikan perkara itu, tindakan undang-undang akan diambil ke atas beliau susulan dakwaan tidak berasas tersebut.

Katanya, sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang baharu, beliau perlu mendapatkan maklumat lengkap terlebih dahulu berhubung pengurusan badan-badan sukan di negara ini.

“Jangan sekali-kali hendak menjadi juara dengan melemparkan kenyataan-kenyataan yang tidak berasas dan kurang fakta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Adam Adli sebelum ini dilaporkan berkata, amalan rasuah dalam badan sukan di negara ini perlu ditangani sebaiknya bagi memastikan atlet dapat meningkatkan potensi sebenar mereka.

Kenyataan Adam Adli itu turut mendapat maklum balas beberapa badan sukan termasuk Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang menggesa beliau supaya memberi justifikasi terhadap dakwaan berkenaan.

Presiden MOM, Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria dilaporkan berkata, kenyataan sedemikian adalah tidak wajar, tidak adil dan prejudis kerana pelbagai badan sukan negara berjaya melahirkan juara dunia dalam sukan masing-masing selama berdekad-dekad.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, Adam Adli seharusnya mempertahankan badan-badan sukan di negara ini dan bukan mengeluarkan kenyataan bagi memburukkan pihak terlibat. 

“Ini adalah kurang sihat dan tidak sesuai dikeluarkan oleh seorang Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang baharu,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya