148 peluncur ombak tunjuk bakat di Pengerang Surfing

148 peluncur ombak tunjuk bakat di Pengerang Surfing International 2022

Salah seorang peserta cilik berjaya mengharungi ombak dengan mengimbangkan badan pada papan peluncur sempena Pesta Air dan Pengerang Surfing International 2022 di Pantai Tiara Desaru, Kota Tinggi disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seramai 148 peserta luncur ombak dari Thailand, Myanmar, Maldives, Singapura termasuk wakil dari seluruh Malaysia memeriahkan Pengerang Surfing International 2022 berlangsung di Pantai Tiara, Tanjung Lompat, Bandar Penawar di sini.

Presiden Persatuan Luncur Ombak Negeri Johor, Abu Bakar Abd Manaf berkata, kejohanan yang dianjurkan bersama Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) itu adalah platform untuk memilih peserta terutama dari Malaysia untuk penyertaan ke peringkat antarabangsa. 

Katanya usaha berkenaan juga adalah untuk memperkenalkan lagi sukan luncur ombak dikalangan masyarakat disamping mencungkil bakat-bakat baru.

“Melalui kejohanan ini kita buat pemilihan atlet untuk wakili pertandingan ke luar negara peringkat antarabangsa contohnya untuk Suka Sea, olimpik dan kejohanan dunia di Bali tahun depan. 

“Sukan luncur ombak kini sudah pun masuk dalam acara bagi sukan olimpik jadi kita mahu cari lebih ramai lagi bakat-bakat muda. Sukan ini bukan sekadar sukan suka-suka lagi sebab sudah libatkan Majlis Sukan Negara, ada akta sukan apa semua.

“Kita sebagai persatuan negeri dan saya selaku jurulatih Malaysia untuk sukan luncur ombak ini memang kita berusaha untuk membawa sukan ini ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Abu Bakar berkata, sukan luncur ombak sebenarnya turut menyumbang dari segi pembangunan ekonomi pelancongan yang membantu memperkenalkan kawasan pantai-pantai cantik yang ada di negara ini.

Katanya seperti di Pantai Tiara, Tanjung Lompat itu sebelum ini ia sebuah kawasan yang tidak terdedah kepada awam, namun dengan adanya penganjuran kejohanan berkenaan membuka mata orang ramai untuk datang ke tempat tersebut.

“Ombak di pantai ini sangat cantik sesuai sangat untuk melakukan sukan luncur ombak terutama pada musim monsun selama empat bulan dari November hingga Februari. Namun selepas monsun habis biasanya kita akan beralih ke Langkawi kemudian naik ke Phuket, Bali, Taiwan, Korea, Jepun, Indonesia, Filipina mengikut event.

“Di Johor, memang terdapat banyak pantai yang cantik-cantik dan sesuai untuk penganjuran sukan ini antaranya di Tanjung Buluh Sedili, Pantai Batu Layar, Pantai Desaru, Tanjung Balau dan di sini. Kawasan-kawasan ini kita ambil kira dari pengalaman selama 20 tahun dalam bidang ini termasuklah melihat kepada ketinggian ombaknya,” katanya.

Menurutnya dia juga berharap sukan luncur ombak itu akan menjadi pilihan lebih ramai generasi muda di daerah ini terutamanya yang tinggal berhampiran pantai-pantai tersebut.

“Seperti di Brazil sukan bola sepak dahulunya berada di tempat pertama menjadi pilihan namun kini berada di tempat kedua dimana mereka mula beralih kepada sukan luncur ombak dan kini menjadi sukan nombor satu di negara mereka.

“Kita juga berharap agar sekolah-sekolah berhampiran kawasan-kawasan pantai dapat mengetengahkan sukan ini dikalangan pelajar. Kita memang amat menggalakkan mereka dari kecil untuk sertainya,”katanya lagi.

Sementara itu bagi peserta tempatan dari Tanjung Balau, Ayep Jasni, 22, berkata dia mula terlibat dalam sukan itu ketika usianya sembilan tahun selepas digalakkan oleh bapanya.

Dia yang juga atlet Malaysia bagi sukan itu berkata, dia pernah mewakili negara dalam pertandingan berlangsung di Thailand dan Indonesia.

“Sukan ini tidak ramai yang cuba jadi saya rasa banyak peluang yang saya boleh raih dari sukan ini. Tambahan pula sukan ini lebih kepada enjoy bagi saya. 

“Ramai juga golongan belia di Tanjung Balau ini yang bermain sukan ini kerana kemudahan sudah ada selain satu kelebihan buat kami kerana rumah tidak jauh dengan pantai hanya berjalan kaki sahaja kalau hendak berlatih,” katanya.

Bagi Nur Alia Erika Mohd Azli, 49 pula berkata dia pernah mewakili negara dalam Sukan SEA di Filipina dan berjaya sampai di suku akhir dalam acara sukan luncur ombak itu.

“Saya mula melibatkan diri dalam sukan ini ketika usia 14 tahun dan ketika usia 15 tahun sudah mula menyertai kejohanan. Ramai yang sertai surfing ini hanya sebagai hobi dan suka-suka sebaliknya saya lebih suka tumpu untuk memasuki kejohanan. 

“Saya sukakan cabaran tambahan pula golongan wanita masih tidak terlalu ramai yang terlibat dalam sukan ini di negara kita,” katanya yang menetap di Cherating, Pahang.

Peserta dari Thailand, Natthakron Sae Iew, 15, berkata dia pertama kali datang ke Malaysia untuk menyertai kejohanan itu.

Katanya, sebelum ini, dia banyak terlibat dalam kejohanan tempatan di negaranya dan amat teruja menjadi peserta bagi Pengerang Surfing International 2022.

“Saya mula bermain sukan ini ketika usia 7 tahun diajar oleh abang saya yang juga merupakan seorang atlet dalam sukan ini. Saya datang bersama enam orang rakan dan kejohanan ini menjadi tempat untuk saya mengumpul lebih banyak pengalaman dalam sukan luncur ombak.

“Ini adalah pertama kali saya datang ke Malaysia semuanya bagus makanan, ombak semuanya baik disamping bertemu ramai orang yang baik-baik, saya sangat gembira di sini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya