12 keluarga buntu banjir 'termenung'

12 keluarga buntu banjir ‘termenung’

RIZAM Ismail (kiri) meninjau keadaan banjir itu di Kampung Batu 38, Sabak Bernam, Selangor.- UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Sebanyak 12 keluarga melibatkan kira-kira 50 penduduk di Jalan Said dan Jalan Masjid Baru, Kampung Batu 38 di sini, buntu memikirkan nasib mereka apabila terpaksa tinggal di rumah yang dilanda banjir termenung sedalam 0.6 meter, sejak tiga hari lalu.

Penduduk, Siti Saliza Mohd. Salleh, 40, berkata, dia bimbang kerana banjir bukan sahaja belum surut malah paras air semakin naik.

“Cuaca kini masih tidak menentu dan dikhuatiri bertambah buruk sekiranya sering kali hujan.

“Air melimpah masuk ke dapur dan ruang tamu rumah saya pukul 8.30 malam kelmarin. Sehingga kini, rumah masih digenangi air,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, penduduk kini buntu kerana turut menanggung kerugian ribuan ringgit akibat tidak sempat menyelamatkan barangan berharga.

“Banyak harta benda saya musnah dan rosak antaranya komputer riba, pembesar suara radio dan televisyen,” katanya.

Bagi Kasmawati Muslimin, 53, pula, banjir berkenaan paling buruk melanda kawasan itu selepas kali ketiga berlaku tahun ini.

“Keseluruhan ruang tamu rumah saya tenggelam dan kami terpaksa berpindah sementara ke rumah ibu di kawasan berdekatan. Rumah ibu saya turut banjir namun hanya di dapur dan tidak seteruk kediaman saya,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Atisah Saiman, 61, berkata, kejadian banjir termenung itu kerap kali berlaku sejak dua tahun lalu.

“Kami perlu menjaga rumah kerana binbang paras air naik lebih tinggi. Banjir itu berikutan sistem saliran tidak diselenggara dengan baik sehingga gagal disalurkan ke parit utama,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail berkata, kerajaan negeri dan Persekutuan digesa menyalurkan peruntukan segera bagi menangani kejadian sama daripada terus berulang.

“Banjir itu turut menjejaskan tanaman kebun penduduk sekali gus menyebabkan mereka hilang punca pendapatan. Saya difahamkan pendapatan mereka terjejas antara dua hingga tiga bulan dan perlu ditangani segera,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya