10 Geng Kabali dipenjara 18 bulan - Utusan Malaysia

10 Geng Kabali dipenjara 18 bulan

SERAMAI 10 orang ahli 'Geng Kabali' dibawa ke Mahkamah Tinggi Seremban hari ini atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai sepuluh daripada 11 orang ahli kumpulan penjenayah Geng Kabali dijatuhi hukuman penjara 18 bulan di Mahkamah Tinggi Seremban di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menganggotai kumpulah jenayah terancang, tiga tahun lalu.

Hakim, Datuk Azizul Azmi Adnan menjatuhkan hukuman itu terhadap 10 tertuduh itu selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Tertuduh terbabit ialah K.Sarugunan, 41; R.Kamal Rajh, 28; L.Navinraj, 29; S.Ilangovan, 43; G. Kartik, 28; G. Ravikumar, 30; S.Viven, 23; S.Sivabalan, 26; R. Kunasekaran, 34, dan R. Jeevanraj, 25.

Mahkamah menetapkan hukuman itu bermula dari tarikh tangkap kesemua tertuduh pada Disember 2019.

Seorang lagi tertuduh S. Subramaniam, 53, dihukum denda RM3,000 namun dikecualikan pembayaran oleh mahkamah mengambil kira tempoh reman ke atasnya selama 463 hari selain menghidap kencing manis kronik dan faktor usia.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syafiq Hasim meminda pertuduhan tertuduh daripada Seksyen 130V Kanun Keseksaan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kepada Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Mengikut pertuduhan pilihan, kesemua tertuduh didapati menjadi anggota Geng Kabali yang merupakan satu pertubuhan menyalahi undang-undang.

Kesalahan itu dilakukan di lorong kecil tepi jalan besar Batu 12 1/2, Jalan Rantau- Siliau, Rantau di sini antara 1 Februari hingga 27 November 2019.

Sehubungan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama, jika boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda maksima RM5,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu dalam prosiding kes, Syafiq memberitahu, hukuman ke atas tertuduh perlu mengambil kira pertuduhan asal di bawah Sosma serta mengutamakan kepentingan awam.

“Mahkamah telah mendengar keterangan 40 saksi yang dipanggil dan hari ini mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan.

“Pada asalnya kes ini melibatkan keselamatan dan keamanan negara, mohon hukuman yang diberikan terhadap tertuduh dapat memberi pengajaran kepada orang lain supaya tidak terjebak pertubuhan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Pihak pembelaan diwakili tujuh peguam iaitu V.Muniandy, Gowri Subbaiyah, Muhammad Afiq Yahawa, James Thanjung Tuan, Sukhdev Singh, Paul Krishna dan S. Karthigesan.

Sebelum ini media melaporkan pada 9 Januari 2020 seramai 19 orang ahli Geng Kabali didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang.

Geng Kabali disyaki terbabit dalam sekurang-kurangnya 65 kes samun di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan berjaya ditumpaskan apabila polis menahan 19 ahlinya melalui Op Kelawar sepanjang bulan November hingga Disember 2019.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya