KANGAR : Kewujudan lokasi-lokasi menarik khususnya berkaitan tarikan dan keindahan alam semula jadi menyaksikan Perlis terus menjadi tumpuan pelancong yang meningkat mendadak.
Pelancong luar sejak kebelakangan ini mula memilih Perlis sebagai destinasi utama untuk bercuti, malah, setiap kali minggu cuti persekolahan, Perlis sesak dengan pelancong yang berpusu-pusu ke negeri ini.
Selain Padang Besar dan Kuala Perlis, lokasi-lokasi berlatarkan keindahan alam semula jadi seperti Taman Eko Rimba Bukit Air, Tanah Tinggi Wang Kelian, Tasik Timah Tasoh, Bukit Jernih dan banyak lagi turut dipenuhi pengunjung dari seluruh negara.
Antara lokasi lain turut menjadi tumpuan ialah Gua Kelam, Galeri 3D, Taman Eko Rimba Batu Pahat, Taman Eksotik Batu Pahat, Superfruit Valley Chuping selain pelancong luar dilihat mengunjungi kawasan-kawasan kampung bagi menikmati keindahan alam semula jadi.
Sehingga Ogos lalu, Perlis merekodkan kehadiran pelancong sebanyak 1,324,990 berbanding 407,000 pada tahun sebelumnya.
Justeru, bagi memperkasakan lagi sektor pelancongan, kerajaan negeri menerusi Bajet 2023 memperuntukkan sebanyak RM3.05 juta untuk pelbagai program dan aktiviti pelancongan.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, antara program dan aktiviti itu seperti Pesta Angin Timur dan Pesta Air Kuala Perlis.
“Peruntukan ini juga turut merangkumi program promosi pelancongan serta kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan produk pelancongan sebagai persediaan awal kerajaan negeri bagi pelaksanaan program Tahun Melawat Perlis 2024,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 di sini hari ini.
Tambah Mohd. Shukri, pelbagai usaha dilakukan untuk melonjakkan industri pelancongan di negeri ini terutama berasaskan tarikan dan keindahan semula jadi.
Katanya, pertumbuhan industri pelancongan turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi di negeri ini.
“Antaranya melalui rantaian rapat dengan beberapa industri lain seperti pengangkutan, penginapan, makanan dan minuman, hiburan serta membeli belah,” katanya.-UTUSAN