UMNO tolak kerjasama  PKR, DAP  ketika PRU15 bukan selepas PRU15 - Utusan Malaysia

UMNO tolak kerjasama  PKR, DAP  ketika PRU15 bukan selepas PRU15

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan penolakan UMNO untuk bekerjasama dengan PKR, DAP dan Bersatu adalah ketika parti berdapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)  dan bukannya selepas itu.

Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, dalam konteks semasa, tindakan BN menyertai Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan adalah langkah membuat perubahan politik yang lebih sederhana.

“Keterbukaan ini mencerminkan bahawa BN-PH merintis jalan baharu untuk membawa politik centrik, jalan kesederhanaan dan matang.

“Kerjasama strategik ini tidak sama sekali mengabaikan prinsip UMNO. Ini berdasarkan dua perkara. Pertama, penolakan sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah untuk berdepan pada PRU15  dan bukannya untuk pasca pilihan raya.

“Kedua, kerjasama ini adalah berlandaskan titah DYMM Yang Di Pertuan Agong yang inginkan Kerajaan Perpaduan terbentuk,” katanya di Facebook, semalam.

Menurut beliau, selepas ini akan ada  ‘pembersihan’  dibuat bagi memastikan tiada kekotoran dalam ‘laman politik’ negara

“Selepas pilihan raya umum, marilah kita merapatkan barisan. Umpama ‘lidi seikat’ ini perlu bagi menyapu segala kotoran yang telah dilemparkan kepada UMNO dan pembersihan ini penting bagi memastikan laman politik tidak kotor luar dan  dalam.

“Kesinambungan politik ini tidak akan menghilangkan identiti  UMNO yang tetap tidak berubah objektif penubuhan parti iaitu sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan Islam bagi memperkasa kemajuan bangsa. Sesuai dengan perkembangan  ia perlu cakna dengan perubahan semasa, dinamik dan dilihat inklusif,” katanya.

Menjelaskan lanjut, Ahmad Zahid berkata, UMNO tetap mempertahankan dasar parti untuk mengamalkan sikap sederhana, centrik dan progresif dalam menangani perubahan.

“UMNO juga menolak parti politik menggunakan agama untuk berpolitik, sebaliknya UMNO secara bertanggungjawab menggunakan politik untuk  memelihara perkara berkaitan kepentingan bangsa, Melayu-Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN