UMNO perlu hadapi realiti pasca PRU15 -Shahril Sufian

UMNO perlu hadapi realiti pasca PRU15 -Shahril Sufian

SHAHRIL Sufian Hamdan ketika menyampaikan ucapan pada Program Santai Pemuda UMNO Padang Serai Bersama Naib Ketua Pemuda di Lunas, Kulim. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu menerima realiti bahawa berlaku penolakan terhadap parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berikutan ketidakpercayaan rakyat sehingga memerlukan pembersihan imej dan integriti parti.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, kepemimpinan termasuk dirinya perlu mengaku dan memohon maaf kepada penyokong bahawa mereka tidak berjaya membendung gelombang yang membawa kepada prestasi amat teruk dalam sejarah UMNO dan BN.

Katanya, keputusan parti untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan tidak mengubah kepada realiti bahawa BN hanya menang 30 kerusi dan UMNO khususnya di Semenanjung hanya memperoleh 20 kerusi. 

“Salah satu perkara yang perlu dilihat adalah imej parti dilihat tidak berintegriti dan ini kita kena semak, lihat dan pastikan dalam masa lima tahun atau penggal ini, ada satu kemampuan dan kemahuan untuk bukan hanya ubah kaedah kempen berpolitik, tetapi, membersihkan imej parti. 

“Membersihkan imej parti kita bukan semata-mata dalam media sosial, kita bercakap bukan semata-mata ayat kita atau hujah kita, tetapi, siapakah perwatakan yang kita bawa dalam parti ini untuk masa depan?,” katanya ketika ditemui dalam Program Santai Pemuda UMNO Padang Serai Bersama Naib Ketua Pemuda di sini, hari ini.

Bekas Ketua Penerangan UMNO yang meletak jawatan tersebut baru-baru ini berkata, parti sudah berhadapan dengan tsunami politik dan tidak boleh menunggu sehingga terpaksa berhadapan ‘asteroid’ yang memungkinkan parti itu akan pupus.

Menurutnya, politik khidmat sahaja tidak lagi menjaminkan kemenangan kepada calon atau pemimpin UMNO yang bertanding kali ini kerana mereka turut terpalit dengan imej parti di peringkat nasional.

“Imej parti di peringkat nasional memainkan peranan di seluruh negara, tak banyak kawasan yang terasing dengan gelombang nasional. Anda bagus macam mana pun di kawasan, anda beri khidmat macam mana pun lima tahun ini, tetapi, kalau imej di peringkat nasional tidak baik, akan terkesan juga kepada calon-calon dan kepemimpinan di peringkat bahagian. 

“Ini realiti yang kita kena cakap, kita kena ambil tanggungjawab bersama sebab itu walaupun pendirian saya sebelum ini sudah jelas selepas kita tewas, saya sendiri ambil tanggungjawab (letak jawatan), saya nampak ini bukan salah mana-mana individu tapi kepemimpinan secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada keputusan PRU15 Sabtu lalu akan memberi kesan kepada pengundian di Parlimen Padang Serai, Shahril mengakui sukar untuk membaca sentimen pengundi ketika ini.

“Dengan keputusan pilihan raya, Perdana Menteri yang baru dilantik susah untuk kita baca apakah sentimen dan kemahuan pengundi Padang Serai. Jadi, bagi saya kita masuk mana-mana pilihan raya untuk menang dan saya yakin jentera tempatan serta calon akan berusaha sehabis baik.

“Tetapi, yang paling utama selain keputusan 7 Disember nanti adalah cara pembawakan kita, apakah di Padang Serai ini boleh memberikan contoh baharu bagaimana kita menerima keputusan pilihan raya dan adakah kita mampu berkempen dengan hujah-hujah dan kaedah yang ambil maklum kepada realiti PRU15,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.