KOTA TINGGI: Kerusi Parlimen Tenggara, Kota Tinggi dan Pengerang diyakini kekal milik Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ketiga-tiga kerusi berkenaan merupakan antara 16 kerusi realistik yang boleh dimenangi BN Johor.
“Kita diberi sasaran oleh UMNO Malaysia 20 kerusi. Kita ada sasaran yang lebih realistik paling kurang 16 kerusi kita tuju dan 20 kerusi merupakan sasaran terbaik.
“Dengan kerja kuat jentera, kepercayaan pengundi diberikan kepada kita saya yakin seperti Pengerusi Perhubungan UMNO Johor beritahu Johor masih jadi tiang seri BN.
“Kerusi yang tetap (menang) Kota Tinggi, Pengerang dan Tenggara ini memang BN akan ambil,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Masyarakat Tenggara di Dewan Sri Kembaran, Bandar Tenggara hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan calon BN Tenggara, Manndzri Nasib.
Dr. Adham yang juga penyandang kerusi Parlimen Tenggara yakin Manndzri dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.
“Beliau (Manndzri) dilatih dengan cukup untuk menjadi calon Parlimen Tenggara. Kami pemimpin pun dahulu mendapat sokongan penuh pengundi di Parlimen Tenggara.
“Dengan sokongan tidak belah bahagi diberi rakyat kepada kami, Manndzri merupakan tokoh belia ASEAN, tokoh belia negara, tokoh belia Johor perlu diketengahkan dan perlu diberi kepercayaan untuk menjadi Ahli Parlimen Tenggara, ” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Adham dan Halimah ikhlas berkhidmat untuk negara dan kehadiran mereka adalah tanda sokongan kepada calon BN,” katanya. –UTUSAN