Suri rumah terpedaya pelaburan tidak wujud, wang simpanan RM500,000 lesap - Utusan Malaysia

Suri rumah terpedaya pelaburan tidak wujud, wang simpanan RM500,000 lesap

AIDI SHAM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang suri rumah kerugian hampir RM500,000 selepas wang simpanannya bersama anak lesap akibat terperdaya dengan pelaburan tidak wujud yang menawarkan buku pengurusan kewangan secara percuma, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, pada 3 Oktober lalu mangsa berusia 60 tahun pada mulanya telah menerima pesanan aplikasi ‘Facebook Mesengger’ daripada halaman tidak dikenali.

“Halaman itu menawarkan buku pengurusan kewangan secara percuma, mangsa kemudian telah menekan pautan WhatsApp yang diberikan dan dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan WhatsApp atas nama ‘Perbincangan Keluarga’,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aidi Sham berkata, mangsa telah diminta pula memuat naik aplikasi ‘Forza’ untuk membuka akaun simpanan dan dijanjikan akan mendapat faedah daripada simpanan yang dibuat.

Jelas Aidi Sham, melalui aplikasi tersebut, mangsa perlu memasukkan wang ke dalam nombor akaun bank yang diberikan oleh pengendali (admin) kumpulan WhatsApp tersebut dan menghantar slip pembayaran.

“Mangsa telah membuat simpanan wang di dalam aplikasi itu melalui sebanyak 17 transaksi kemasukan wang bermula 1 November lalu hingga 17 November dengan nilai keseluruhan berjumlah RM476,100.

“Wang itu dimasukkan ke dalam dua buah akaun bank tempatan atas nama syarikat yang berbeza menggunakan wang simpanan sendiri dan anak serta pinjaman daripada rakan-rakan,” katanya.

Jelas Aidi Sham, bagaimanapun mangsa mendapati akaun simpanan dalam aplikasi berkenaan disekat apabila gagal mengeluarkan wang faedah dan turut diminta memasukkan lagi wang sebanyak RM427,200.

Aidi Sham berkata, mangsa yang mula menyedari diperdaya telah membuat laporan di Balai Polis Telok Kemang di sini semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan,” katanya.

Tambah Aidi Sham, pihak polis mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah percaya kepada tawaran-tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan faedah lumayan dalam tempoh singkat.

“Buat semakan dengan agensi kerajaan berkaitan bagi mengetahui status skim pelaburan dan syarikat yang menawarkan pelaburan,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.