KUANTAN: Sepasang suami isteri dan seorang bayi perempuan maut apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas lalu melanggar sebatang pokok di Kilometer 200 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di Kampung Paya Bungor petang tadi.
Tiga lagi penumpang Toyota Hilux, dipercayai anak kepada pasangan berkenaan selamat namun mengalami kecederaan.
Pasangan yang maut dalam nahas pukul 3.13 petang itu ialah Mohamad Shafiq Zailani, 33, Faieznoor Mansor, 32, dan bayi berusia 10 bulan, Daryan Marwa.
Tiga kanak-kanak yang selamat ialah Mohamad Danish Uqasha, 9, Dhia Medina, 5 dan Damiaa Melissa,2.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, kemalangan itu disyaki berlaku atas kecuaian pemandu kenderaan tersebut yang hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar pokok di bahu jalan.
“Suami isteri tersebut meninggal dunia di lokasi kejadian manakala bayi mereka meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
“Tiga lagi kanak-kanak yang selamat iaitu dua kanak-kanak perempuan seorang lelaki dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Kuantan dikejarkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat tersebut. – UTUSAN