SPR boleh jual senarai daftar pemilih

SPR boleh jual senarai daftar pemilih

SPR boleh menjual senarai daftar pemilih kepada parti-parti politik. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan mereka yang membeli Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) supaya memastikan dokumen itu tidak terlepas ke tangan sindiket tertentu yang mungkin mengambil kesempatan menggunakan data-data tersebut untuk melakukan jenayah bagi mengaut keuntungan.

Sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, penjualan DPPR itu adalah tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan ia biasanya dibeli oleh parti-parti politik bagi tujuan semakan pemilih.

“Oleh itu, bagi mereka terutamanya parti-parti politik yang membeli data-data ini perlu bertanggungjawab untuk menjaga kerahsiaan maklumat agar data ini tidak disalahgunakan,” kata sumber itu.

Semakan Utusan Malaysia mendapati, bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), DPPR yang akan digunakan adalah gabungan Daftar Pemilih Induk Tahun 2021 dengan Daftar-Daftar Pemilih Tambahan (DPT) setiap bulan bagi tahun ini yang diperakui sebelum pembubaran Parlimen.

Mengikut soalan lazim (FAQ) yang dikeluarkan SPR mengenai PRU15, penjualan DPPR itu secara buku dan softcopy itu hanya mengandungi nama pemilih, nombor kad pengenalan, tempat mengundi, pusat mengundi, daerah mengundi dan bahagian pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

DPPR boleh dibeli untuk keseluruhan bahagian pilihan raya Parlimen atau negeri bagi satu negeri atau DPPR bagi satu bahagian pilihan raya Parlimen atau negeri sahaja.

Menerusi maklumat senarai harga yang dipaparkan SPR, ia ditetapkan antara RM1,576 hingga RM29,512.80 yang berbeza mengikut negeri dengan jumlah keseluruhan bagi seluruh negara berjumlah RM170,128.60.

Bagaimanapun, DPPR secara percuma diberikan kepada calon yang disahkan bertanding dalam PRU15 pada hari penamaan calon yang mana akan menerima DPPR dalam format buku dan “CD (format-mdb)”

Terdahulu, tular di media sosial berhubung dakwaan penjualan data peribadi 22 juta pengundi di mana setakat ini sejumlah 800,000 data melibatkan swafoto dan imej Mykad.

Difahamkan, maklumat peribadi tersebut mengandungi nama penuh, gambar kad pengenalan diri, nombor telefon, alamat dan gambar pengundi.

Lebih memeranjatkan, data sebanyak 67 GB itu dijual oleh penggodam dengan harga RM9,401 (USD2,000) menerusi pembayaran secara bitcoin atau monero.

Maklumat itu didakwa sebahagian daripada data Electronic Know Your Customer (eKYC) sistem MySPR yang dikumpul pada 2019 apabila orang ramai dapat mendaftarkan diri mereka sebagai pengundi dalam talian melalui laman web Daftar MySPR yang baru dilancarkan.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan sedang menyemak dakwaan penjualan data peribadi berkenaan.

PDRM berkata, pihaknya akan membuat semakan dengan jabatan berkaitan dan akan berkongsi maklumat sekiranya perincian mengenainya diperoleh. –UTUSAN

 

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN