Sokong kerajaan Anwar bukan lompat parti - Utusan Malaysia

Sokong kerajaan Anwar bukan lompat parti

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli parlimen dan parti komponen berlainan yang menyatakan sokongan kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak hilang kerusi.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perkara itu tertakluk dengan syarat seseorang ahli parlimen itu tidak keluar parti.

Bagi parti komponen pula, beliau berkata, parti itu juga tidak mempunyai apa-apa masalah untuk menyokong keputusan yang bertentangan dengan gabungannya kerana ia bukan satu tindakan secara individu, tetapi sebagai satu parti.

Selain itu, katanya, tandatangan Akuan Bersumpah (SD) menyokong juga tidak dikira sama dengan lompat parti.

“Kalau parti komponen, contohnya Pas keluar daripada Perikatan Nasional (PN) (dan) menyokong kerajaan di bawah Datuk Seri Anwar, tidak ada masalah kerana undang-undang itu (Anti Lompat Parti) hanya melibatkan individu keluar daripada parti atau Bebas masuk parti, itu yang dipanggil lompat.

“Kalau (Ahli Parlimen) MCA dan MIC keluar (dari menyokong kerajaan), maka tidak ada masalah. Asalkan jangan keluar daripada MCA dan MIC (sebab) jika keluar daripada parti, maka kena kosongkan kerusi.

“Malah, (jika ahli parlimen) dipecat daripada parti, dia tidak akan kehilangan kerusi kerana pemecatan itu tidak mendatangkan kemudaratan melainkan parti itu mempunyai perlembagaan yang menyatakan dia akan tergugur keahlian jika tidak mengikut perintah parti.

“Kalau perlembagaan itu sudah wujud (maka tergugur), tetapi (tidak tertakluk) jika ia wujud selepas pilihan raya umum,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung implikasi terhadap parti komponen dan ahli parlimen yang menyokong kerajaan, biarpun ia bertentangan dengan keputusan parti atau gabungan.
Pas sebelum ini membuat keputusan untuk mempertimbangkan penyertaan dalam kerajaan perpaduan.

MENOLAK

Bagaimanapun, parti itu kemudian menolak menyertai kerajaan selepas PN memuktamadkan untuk menjadi pembangkang bagi memastikan amalan semak dan imbang dalam sistem demokrasi terus subur.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, peruntukan akta anti lompat parti di negara ini tidak boleh disamakan dengan undang-undang di Singapura, England dan India.

“Kalau di England, India dan Singapura, seseorang itu dipecat daripada parti dan boleh hilang kerusi sekiranya tidak mengikut arahan tertentu seperti menyokong Perdana Menteri (dalam usul undi percaya) walaupun bertentangan dengan arahan parti.

“Sebelum ini saya nak masukkan perkara itu (dalam peruntukkan), tetapi selepas kita ada perbincangan dengan Jawatankuasa Pilihan Khas, mereka tidak setuju sebab beri kebebasan kepada ahli parlimen untuk memilih, maka undang-undang kita tidak sama,” ujarnya.

Justeru, beliau menambah, ahli parlimen tidak perlu bimbang untuk menyokong Ahli Parlimen Tambun itu terutamanya dalam usul undi percaya pada 19 Disember ini.

“Tetapi, kalau saya memberontak, saya tidak boleh mengaku anak-anak (kepada parti tertentu) dan adakah anak-anak (memberontak) seperti itu saya mahu belai dengan baik?,” soal Wan Junaidi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN