KUALA LUMPUR: Pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengesahkan bahawa sehingga hari ini, bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad tidak pernah didakwa atas mana-mana kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan.
Tambah Timbalan Ketua Unit Audit Meja Selebriti, Penghibur Awam dan Pelbagai, Bahagian Penaksiran LHDN, Tuan Zulkfli Tuan Lah, 48, pihaknya juga tidak pernah melakukan taksiran tambahan terhadap pentaksiran kendiri (self-assessment) yang dibuat oleh bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu bagi tahun 2013.
“Bagi saya, untuk kesalahan seperti ini, perlu ada semakan dahulu, bila (ada) tak betul baru kita ambil tindakan. Kalau tiada tindakan, kita tidak boleh pastikan seseorang itu kurang lapor (pendapatan) atau sebaliknya,”katanya.
Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Shahrir iaitu dalam mengisytiharkan sesuatu pendapatan, pembayar cukai sendiri yang menentukan kategori wang yang diterimanya sama ada pendapatan atau pembayaran balik (reimbursement).
Tuan Zulkifli juga bersetuju bahawa tiada ruangan tertentu dalam borang cukai pendapatan yang membolehkan seseorang itu mengisytiharkan wang pembayaran balik yang diterima bagi tahun-tahun tertentu.
Saksi itu berkata demikian perbicaraan kes Shahrir yang didakwa tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013.
Cek itu kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun Public Islamic Bank milik tertuduh pada 28 November 2013.
Terdahulu, ketika ditanya oleh seorang lagi peguam mewakili bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Bahru, Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros, pegawai LHDN itu secara peribadi bersetuju bahawa Shahrir telah didakwa sebelum siasatan dilakukan oleh organisasi terbabit.
Syed Faisal: Setuju atau tidak bahawa, LHDN perlu mengambil beberapa langkah untuk menentukan wang yang diterima seseorang itu adalah pendapatan atau sebaliknya.
Tuan Zulkifli: Setuju.
Syed Faisal: Setuju kalau saya katakan, Tan Sri Shahrir telah didakwa di mahkamah sebelum LHDN diminta untuk menjalankan semakan dalam menentukan sama ada RM1 juta yang diterima adalah pendapatan atau bayaran balik?
Tuan Zulkifli: Setuju.
Syed Faisal: Setuju saya katakan, adalah tidak adil untuk Tan Sri Shahrir didakwa di mahkamah sedangkan LHDN tidak membuat atau diminta untuk mengambil langkah-langkah semakan taksiran bagi menentukan status duit RM1 juta itu.
Tuan Zulkifli: Secara peribadi, ya.
Syed Faisal: Setuju atau tidak Pengarah LHDN juga tidak pernah mengarahkan awak untuk membuat semakan terhadap Tan Sri Shahrir walaupun awak pernah memberitahunya mengenai aduan pegawai penyiasat mengenai wang RM1 juta tersebut.
Tuan Zulkifli: Tidak diarahkan kerana aduan dibuat secara lisan dan bukannya secara bertulis (rasmi).
Shahrir didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 24 April 2014 di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April, 2014.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung 13 Disember ini. –UTUSAN