Shahidan lepas geram, gesa Zahid lepas jawatan

Shahidan lepas geram, gesa Zahid lepas jawatan

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU : Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai pembohong apabila langsung tidak mempertimbangkan senarai lima nama calon yang diserahkan oleh bahagian untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Tegas Shahidan, Ahmad Zahid juga dianggap mungkir janji dan tidak menjalankan amanah yang diberikan kepadanya untuk memilih calon berdasarkan pertimbangan kepimpinan tertinggi parti atau Top 5.

Katanya, beliau secara peribadi tiada masalah sekiranya tidak dipilih untuk bertanding, namun calon penggantinya itu mestilah seorang yang boleh membawa kemenangan kepada parti.

“Kalau calon boleh menang saya tiada masalah, bukannya calon mesin padi dan tidak pernah jejak kaki ke bahagian,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Khidmat Kubang Gajah di sini malam ini.

Menerusi pengumuman rasmi calon Barisan Nasional (BN) sebentar tadi, nama Shahidan digugurkan di Parlimen Arau dan tempatnya digantikan oleh bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Rozabil Abd Rahman.

Selain Shahidan, penyandang kerusi Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin juga tidak akan mempertahankan kedudukannya dan digantikan dengan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.

Dalam pada itu, Shahidan turut menggesa Ahmad Zahid melepaskan jawatannya dan digantikan dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menerajui parti Melayu itu dalam PRU15.

“BN akan kembali pulih kalau Zahid berhenti dan tak bertanding (dalam PRU15). Disebabkan seorang yang gila untuk jadi calon, habis rosak Perlis,” katanya.

Tambah Shahidan, calon penggantinya itu juga pernah berhubung bagi memaklumkan untuk bertanding di Parlimen Arau namun ia tidak mendapat restu di peringkat bahagian.

“Saya lebih memilih calon pengganti yang ada memegang jawatan, ini langsung tiada jawatan dalam bahagian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.