Sarawak akan terus dibangunkan, jangan salah pilih kerajaan - PM - Utusan Malaysia

Sarawak akan terus dibangunkan, jangan salah pilih kerajaan – PM

ISMAIL Sabri Yaakob (dua dari kanan) merasmikan pembukaan Lebuhraya Pan Borneo Seksyen Selangau, Sarawak hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELANGAU: Kerajaan Persekutuan akan meneruskan komitmen membangunkan Sarawak terutama melebarkan infrastruktur rangkaian internet  di seluruh Sarawak bagi memastikan jurang kemajuan di negeri ini tidak terlalu besar dengan negeri-negeri di Semenanjung. 

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,  jika diberi mandat dan kepercayaan untuk terus  mentadbir  Pusat semua matlamat tersebut akan terus diberi keutamaan selain memperbanyakkan lagi projek-projek pembangunan lain.

“Kita faham capaian internet berkurangan di Sarawak tetapi saya ingin memaklumkan bahawa di bawah Jendela, kita memberikan focus kepada Sabah dan Sarawak, untuk Sarawak ini sebanyak 636 tapak infrastruktur digital telah disediakan. 

“Justeru, saya percaya YB Menteri ada kat sini dan kita akan selesaikan dalam tempoh 2 tahun. Dalam tempoh 2 tahun kita jangka capaian internet di seluruh Sarawak akan dapat liputan sebanyak 100 peratus,” kata Ismail Sabri ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Lebuhraya Pan Borneo Seksyen Selangau dan Penyerahan Peranti Siswa, di Selangau-Sibu hari ini. 

Menurut Naib Presiden UMNO itu, kerajaan  dalam Bajet 2023 turut memperuntukkan sebanyak RM5.4 billion untuk projek pembangunan di Sarawak.

“RM100 juta bagi projek bekalan infrastruktur bekalan air Samalaju Fasa 3, RM188 juta bagi program pendidikan awal kanak-kanak  dengan pembinaan 10 buah taska KEMAS termasuk di Limbang, RM200 juta bagi menampung kos pengangkutan dan pengedaran barang perlu. 

“Kita tahu harga barang di kawasan pedalaman jauh beza dengan kawasan bandar dan untuk memastikan harga barangan asas sama antara bandar dan pedalaman kita bantu,” tambah beliau. 

Kata Ismail Sabri, kerajaan akan meneruskan semula  projek yang dibatalkan  Pakatan Harapan (PH) ketika mereka mentadbir negara pada 2018.

“Persekutuan komited untuk membangunkan Sarawak  sama dengan negeri lain ataupun lebih baik dari negeri-negeri lain di Malaysia atas alasan banyak pembaharuan perlu dilakukan di Sarawak,” kata beliau. 

INFRASTRUKTUR

Kata beliau, dalam Bajet 2023 juga  sejumlah RM1.2 billion  peruntukan untuk menaik taraf infrastruktur sekolah daif yang melibatkan 182 projek di negeri ini disalurkan.

“Jadi kita teruskan, dan saya percaya projek ini akan berterusan sehingga semua sekolah daif dapat dinaik taraf di Sarawak,” katanya. 

Kata beliau, dalam Bajet 2023, kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan sebanyak RM420 juta untuk membaiki hospital dan juga menaik taraf klinik-klinik desa di Sarawak terutamanya di pedalaman.

Bagi program Perumahan Rakyat, sebanyak tujuh projek akan dilaksanakan di Sabah dan Sarawak melibatkan 3,202 rumah kos rendah yang akan disiapkan, manakala 2,400 rumah mesra rakyat akan dibina bagi membantu isi rumah miskin di Sabah dan Sarawak.

Kata Ismail Sabri lagi, kerajaan yang dipilih pada PRU15  nanti mestilah kerajaan yang bertanggungjawab bukannya membatalkan projek demikepentingan rakyat. 

“Bezanya, mereka batal. Kita tambah peruntukan untuk kepentingan rakyat, itu beza antara kita dan yang lain. 

“Sebab itu, jangan tersalah membuat pilihan. Jika tersalah, yang merana adalah kita (rakyat dan penduduk di negara ini),” kata beliau. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN