KUALA LUMPUR: Badan Peguam Malaysia dan presidennya diarahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk memfailkan pembelaan mereka terhadap kes saman fitnah yang difailkan oleh tiga bekas peguam bela, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Penolong Kanan Pendaftar, Nuur Fatimahtul Zuhra Khairuddin memerintahkan badan tersebut dan Karen Cheah untuk berbuat demikian sebelum atau pada 7 November ini. Plaintif-plaintif, Datuk Mohd. Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavanam pula diperintahkan untuk membalas pernyataan pembelaan itu pada atau sebelum 28 November.
Peguam, Lim Qi Si yang mewakili kesemua plaintif turut memaklumkan mahkamah menetapkan 13 Disember ini untuk pengurusan kes lanjutan.
Pada 30 September lalu, ketiga-tiga plaintif itu memfailkan saman fitnah tersebut di Mahkamah Tinggi di sini melalui firma guaman, Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST).
Mohd. Zaid, Teck Huat dan Rueben memfailkan saman tersebut atas dakwaan Badan Peguam dan presidennya itu mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah termasuk dakwaan bahawa kesemua plaintif melanggar tanggungjawab statutori mereka dan berkonspirasi untuk menjejaskan reputasi kesemua plaintif selaku peguam.
Menurut penyata tuntutan yang difailkan, ketiga-tiga plaintif memberitahu, mereka bertindak sebagai peguam untuk Najib dalam rayuan akhirnya di Mahkamah Persekutuan di antara 26 Julai sehingga 19 Ogos lalu.
Pada 19 Ogos lalu, Cheah selaku defendan kedua didakwamenerbitkan kenyataan akhbar bertajuk “Abuse of Process Brings Disrepute to Our Justice System” pada laman web rasmi badan tersebut (defendan pertama) dan kenyataan itu diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal.
Kesemua plaintif mendakwa kenyataan membawa maksud antara lainnya ketiga-tiga peguam Najib itu menyalahgunakan proses mahkamah dan melakukan salah laku profesional dengan menerima kes daripada Najib serta perlu menghadapi prosiding tatatertib kerana menjatuhkan maruah profesion guaman.
Ketiga-tiga peguam itu mendakwa defendan gagal atau enggan menghubungi mereka untuk mengesahkan fakta-fakta sebelum mengeluarkan kenyataan akhbar selain tidak memberi peluang kepada plaintif untuk menyatakan pendirian dari pihak mereka dan versi cerita mereka.
Dakwa kesemua plaintif, aduan salah laku terhadap mereka bagi pengendalian dalam kes rayuan Najib sepatutnya dibuat dan dirujuk terlebih dahulu kepada Lembaga Tatatertib di bawah Seksyen 99 (1) Akta Profesion Undang-undang, namun kedua-dua defendan telah melanggar kewajipan berkanun mereka dengan mengeluarkan kenyataan akhbar itu.
Menurut plaintif, Seksyen 99 (1) akta itu memberikan kuasa eksklusif kepada Lembaga Tatatertib untuk menangani apa-apa perkara berkaitan dengan tingkah laku peguambela dan peguamcara kerana ia secara nyata memperuntukkan bahawa apa-apa aduan sedemikian haruslah terlebih dahulu dibuat dan dirujuk kepada Lembaga Tatatertib.
Plaintif berkata, satu surat dikeluarkan pada 26 Ogos supaya kedua-dua defendan menarik balik penerbitan kenyataan itu dan membuat permohonan maaf kepada plaintif, namun, ia ditolak oleh defendan menerusi peguam mereka, Tetuan Lee Hishammudin Allen & Gledhill pada 2 September lalu.
Plaintif-plaintif mendakwa, penerbitan kenyataan akhbar itu menyebabkan reputasi mereka tercemar selain menegaskan bahawa tindakan defendan itu telah melanggar kewajipan berkanun dan telah memprejudis plaintif.
Oleh itu, kesemua plaintif menuntut ganti rugi am dan teruk yang tidak dinyatakan jumlahnya, faedah dan kos selain memohon satu injunksi bagi menghalang defendan pertama dan kedua atau ejen mereka daripada menerbitkan perkataan-perkataan serupa yang bersifat fitnah terhadap plaintif-plaintif. –UTUSAN