SEMPORNA: Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Itu antara pegangan hidup penduduk di Pulau Bum Bum.
Desakan hidup mendorong mereka untuk bersikap lebih kreatif dalam mengubah suai kereta sorong bagi mendapatkan upah mengangkut barangan penduduk kampung di Jeti Balembang di pulau tersebut.
Jika dahulu penduduk kampung terpaksa mengangkat barang-barang yang dibeli dari Pekan Semporna sejauh 100 kilometer di Jeti Balembang namun sekarang mereka boleh menggunakan perkhidmatan kereta sorong yang dikendalikan sekumpulan penduduk kampung termasuk anak-anak muda di pulau berkenaan.
Walaupun upah hanya RM5 bagi setiap perjalanan namun, jika mereka rajin bekerja untuk tempoh lama maka, upah yang diterima boleh mencecah antara RM60 hingga RM120 sehari.
Mohd. Izwan Mohamad, 21, berkata, biarpun upah perkhidmatan kereta sorong ini tidak besar namun ia masih boleh menampung perbelanjaan hariannya yang kini sudah menjadi suami orang.
BARANGAN
Anak ketujuh daripada lapan beradik itu berkata, pada musim perayaan, upah mengangkut barangan menggunakan kereta sorong itu boleh mencecah sehingga RM200 sehari.
Katanya, kereta sorong yang digunakan itu diubah suai dengan menambah dua lagi tayar di belakang kereta sorong tersebut. Kos keseluruhan membeli dan mengubah suai kereta sorong itu berjumlah RM150.
Mohd. Izwan berkata, barang-barang yang sering diangkut menggunakan kereta sorong itu termasuk barang keperluan harian, bahan makanan mentah, simen serta tilam.
Selain itu, mereka turut mengangkut orang sakit menggunakan kereta sorong dari stesen bas menuju ke bot yang akan membawa pesakit ke hospital di tanah besar (Pekan Semporna).
Perjalanan menaiki bot dari Jeti Balembang Pulau Bum Bum ke Pekan Semporna mengambil masa 7 hingga 10 minit dengan kos RM2 setiap seorang penumpang.
Sementara itu, Kimal Roli,20, berkata, pekerjaan mengangkut barangan itu sudah dilakukan sejak 2016 lagi dan itulah satu-satunya kerja yang boleh dilakukannya di pulau berkenaan.
Menurutnya, biarpun pulau itu antara lokasi tumpuan pelancong kerana jarak dekat dengan Pekan Semporna namun, tidak banyak pekerjaan yang boleh dilakukan oleh anak muda sepertinya di sini. – UTUSAN










