SEGAMAT: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Segamat, Tan Sri M. Ramasamy bertekad menyelesaikan beberapa isu utama setempat sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Saya akan pastikan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada penduduk mendapat akses capaian internet bagi memudahkan pembelajaran anak-anak mereka.
“Dalam masa yang sama, ia dapat memudahkan mereka menghubungi saya bagi membuat aduan pelbagai permasalahan isu setempat.
“Kedua, kita juga akan bela nasib golongan B40. Kita banyak mendengar rintihan mereka dan sedang meneliti satu persatu bagi memudahkan kita menyelesaikannya dengan segera,” katanya ditemui ketika menghadiri Sembang Santai BN di Kampung Gelang Chinchin dan melawat Bilik Gerakan BN, di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Zahari Sarip; Pengerusi BN Parlimen Segamat, Datuk Othman Jais.
Ramasamy juga sedang meneliti projek-projek yang bersesuian bagi mengurangkan dan mengatasi masalah banjir serta aliran air dan punca banjir termenung yang sering menghantui penduduk di kawasan berkenaan.
Beliau turut mengakui hanya penduduk setempat yang mampu menilai mengenai sentuhan BN di Parlimen Segamat kerana dalam sistem demokrasi setiap rakyat mempunyai kuasa untuk mengundi, memilih dan menilai.
“Seorang hanya satu undi. Fikirlah masak-masak sebelum mengundi. Jangan undi dahulu baru nak nilai. BN tidak pernah buat janji manis.
“Saya menyaksikan sendiri banyak kawasan di sekitar Segamat yang dahulunya terbiar sudah berubah wajah kesan kepimpinan BN terdahulu. Kawasan yang dahulunya kurang bernilai tinggi sudah bertukar menjadi aset perumahan dan industri.
“Justeru, saya menyokong pembangunan tetapi kita kena pastikan pembangunan yang tidak menimbulkan masalah berbangkit pada masa akan datang. Itu matlamat kita,” katanya.
Pada PRU15, Ramasamy ditentang Datuk Seri Poobalan Ponnusamy yang mewakili Perikatan Nasional (PN), Syed Hairoul Syed Ali (Gerakan Tanah Air) selain R. Yuneswaran (Pakatan Harapan).
Pada PRU14, kerusi Parlimen Segamat dimenangi Datuk Seri Dr. Santara Kumar daripada Pakatan Harapan dengan majoriti 5,476 undi. –UTUSAN