Rakyat perlu hormati pilihan Agong - Utusan Malaysia

Rakyat perlu hormati pilihan Agong

ANWAR Ibrahim ketika mengangkat sumpah di Istana Negara, Kuala Lumpur. - SADIQ ASYRAF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat harus percaya dan hormat keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja yang melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir berkata, semua pihak perlu yakin terhadap apa yang diputuskan oleh Agong dan ini bukan lagi persoalan suka atau tidak.

Menurut beliau, sebagai rak­yat, semua pihak kena yakin dengan pemerintahan Anwar yang baru memulakan tugas pada Khamis lalu.

“Rakyat harus bersifat positif kerana kita hendak gerak ke hadapan dan melihat perubahan pada negara, sekiranya asyik berfikiran negatif dan mencari masalah, negara takkan maju sedangkan negara-negara ASEAN lain sudah menuju kejayaan.

“Rakyat perlu bekerjasama untuk membantu Anwar membawa kembali negara gemilang kita seperti satu ketika dahulu dan saya doakan beliau dapat kembalikan semula ekonomi Malaysia dan bukan menjadi Perdana Menteri untuk kepentingan sendiri tetapi bagi semua rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sementara itu, penganalisis politik Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, lantikan Anwar sebagai Perdana Menteri adalah peristiwa bersejarah dalam politik Malaysia.

“Ini adalah kali pertama Agong melantik seseorang yang tidak ada majoriti dua pertiga serta beliau akan memimpin negara sebagai kerajaan perpaduan, bukan secara solo iaitu PH atau BN.

“Bagi saya ini adalah permulaan era baharu Malaysia kerana negara kita sudah wujud sistem berbilang parti dan lantikan Anwar adalah solusi yang baik untuk semua,” kata beliau.

Khamis lalu, Pengerusi PH yang juga Presiden PKR itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’­ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas perbincangan khas de­ngan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 selepas Parlimen tergantung lima hari selepah Pilihan Raya Umum Ke-15.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN