PRU15: Tokdi mahu wujudkan Universiti Al-Quran dan Hadis di

PRU15: Tok Di mahu wujudkan Universiti Al-Quran dan Hadis di Tanah Merah 

MOHAMAD Suparadi Md. Noor (tiga kiri) ketika beramah mesra bersama peniaga Pasar Besar Tanah Merah, Kelantan hari ini.UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md. Noor mahu menjadikan kawasan Parlimen ini sebagai hub pendidikan dengan mewujudkan sebuah Universiti Al-Quran dan Hadis sekiranya diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Mohamad Suparadi atau mesra disapa dengan Tok Di berkata, perkara tersebut merupakan impiannya sejak kecil lagi untuk melihat sebuah pusat pendidikan berteraskan Islam di wujudkan di kawasan Tanah Merah.

Menurutnya, dengan wujudnya pusat pengajian itu, anak-anak tempatan tidak lagi perlu ke Asia Barat seperti Jordan dan Mesir untuk menyambung pengajian.

“Semua ini mampu direalisasikan jika PH diberi mandat untuk mentadbir negara selepas PRU15 nanti dan Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi Perdana Menteri ke-10.

“Saya akan bertemu sendiri dengan beliau (Anwar) bagi memastikan perancangan itu dapat direalisasikan dengan sebaik mungkin,” katanya selepas turun padang beramah-mesra dengan pengundi di Pasar Besar Tanah Merah di sini hari ini.

Suparadi  memberitahu, pembangunan ekonomi akan turut diberi penekanan bagi memastikan rakyat Tanah Merah mendapat limpahan manfaat secara bersama.

Katanya, Tanah Merah merupakan bandar kedua mempunyai kuasa beli tertinggi selepas Kota Bharu dan ia merupakan satu peluang yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Anda boleh lihat, bandar ini masih lagi ‘bernyawa’ pada waktu malam menerusi pelbagai kegiatan ekonomi.

“Namun sayang, disebabkan tiada perancangan rapi Tanah Merah gagal dibangunkan dengan baik walaupun mempunyai potensi,” ujarnya.

Pada PRU15 anak kelahiran Kampung Sat itu bakal dicabar calon Barisan Nasional, Bakri @ Mohd Bakri Mustapha, Mohd. Nasir Abdullah (Gabungan Tanah Air), Datuk Nik Sapeia Nik Yusof(Bebas) dan penyandang kerusi Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisyam Abdul Aziz (Perikatan Nasional).

PRU14 lalu, Ikmal Hisyam yang bertanding atas tiket Barisan Nasional menang dengan majoriti 2,929 undi menewaskan Datuk Johari Mat (Pas) dan Dr. Muhamad Fauzi Zakaria (PKR).

Ikmal Hisyam 28,152 undi, Johari (25,223) dan Dr. Fauzi (4,747). –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya