PRU15: PN ada kelebihan di Padang Serai, Tioman

PRU15: PN ada kelebihan di Padang Serai, Tioman

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (depan, tengah) mengiringi calon PN Parlimen Padang Serai, Azman Nasrudin pada proses penamaan calon PRU15 bagi kawasan berkenaan di Dewan Kompleks Sukan Taman Teknologi Tinggi Kulim di Kulim. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Perikatan Nasional (PN) berada di landasan mudah untuk mencipta kemenangan di Parlimen Padang Serai, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 14 kerusi Parlimen di negeri ini termasuk yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu lalu.

Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keyakinan tersebut dibuat bersandarkan keputusan yang diperoleh gabungan itu termasuk di negeri-negeri lain dan beberapa faktor lain.

“Berdasarkan kepada gelombang yang sedang bertiup sekarang ini, dengan penolakan kepada Pakatan Harapan (PH), penolakan kepada Barisan Nasional (BN), tambahan lagi perkembangan terkini yang memberi kesedaran kepada pengundi.

“Saya fikir PN akan mendapat laluan mudah untuk menang di Padang Serai dan di (Dewan Undangan Negeri) Tioman,” katanya ketika ditemui selepas mengiringi calon PN Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin pada proses penamaan calon, di sini.

Proses penamaan calon yang selesai pagi ini menyaksikan enam calon akan bersaing di situ iaitu Azman (PN); Dr. Mohamad Sofee Razak (PH); Datuk C. Sivarraajh (Barisan Nasional); Hamzah Abd. Rahman (Pejuang); Mohd. Bakhri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (Bebas).

PRU15 bagi kawasan berkenaan ditangguhkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada 7 Disember ini susulan kematian calon PH sebelum ini, mendiang M. Karupaiya pada 16 November lalu.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar bersetuju dengan cadangan untuk mengadakan serentak Pilihan Raya Negeri (PRN) bersama lima negeri lain termasuk di bawah pentadbiran PH.

Katanya, beliau secara prinsip menyokong idea berkenaan yang dilihat akan memudahkan perjalanan pilihan raya dijalankan termasuk pergerakan pengundi luar untuk pulang mengundi serta petugas-petugas parti.

“Kalau nak dijadikan pilihan raya serentak kita boleh rundinglah dengan negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Terengganu. Saya rasa perkara ini bukanlah sesuatu yang sulit untuk dipersetujui bersama.

“Kalau Pas pusat bersetuju, tak ada masalah, bagi pihak negeri, saya fikir pilihan raya bersama itu lebih baik untuk memberi peluang kepada semua orang balik (mengundi), kalau (diperlukan) cuti akan serentak sahaja,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya