PRU15: PN ada kelebihan di Kelantan, Pahang, Perlis - Utusan Malaysia

PRU15: PN ada kelebihan di Kelantan, Pahang, Perlis

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas yakin Perikatan Nasional (PN) mempunyai kelebihan untuk mencapai kemenangan di Kelantan, Pahang dan Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkembangan terkini menyaksikan berlaku gelombang penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di tiga negeri berkenaan.

Menurut beliau, Pas menjangkakan berlaku lonjakan sokongan terhadap PN di Kelantan dan Pahang berdasarkan beberapa faktor yang dikesan.

“Ada dua hingga tiga faktor yang menyokong perkara ini. Pertamanya, momentum di dua negeri ini memperlihatkan berlaku gelombang penolakan rakyat kepada PH dan BN.

“Di Pahang ia dibantu oleh faktor BN tidak menamakan Datuk Seri Ismail Muttalib, tokoh besar dan berpengaruh di negeri itu sebagai calon PRU15.

“Apabila tidak dicalonkan beliau terus bersama  Pas dan mewakili PN untuk bertanding di kerusi Parlimen Maran yang disandangnya sejak 2004,” kata beliau pada sidang media di Pejabat Perhubungan Pas Negeri Kelantan, di sini hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, keputusan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu membangkitkan gelombang kesedaran dalam kalangan pengundi di Pahang untuk perubahan ke arah Malaysia yang lebih baik.

Katanya, di Perlis pula keputusan penyandang Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk mempertahankan kerusi berkenaan atas tiket PN dilihat membangkitkan gelombang perubahan di negeri itu.

“Kita tahu dan faham pengaruh besar Shahidan di Perlis yang hanya mempunyai tiga kerusi Parlimen.  Kita yakin dengan kerja-kerja dan sumbangan besar beliau selama ini, PN mampu menang di negeri itu.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh terlalu yakin dan perlu terus bekerja keras dan berusaha dengan harapan akan berlaku lonjakan sokongan kepada PN di situ dan seluruh negara, ” ujarnya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.