PRU15: Pengundi veteran beri sokongan penuh, sedia jalan

PRU15: Pengundi veteran beri sokongan penuh, sedia jalan tanggungjawab

PARA pengundi disaran menilai apa yang telah pemimpin parti-parti politik lakukan terhadap agama, bangsa dan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Meski menampilkan ramai calon dan muka baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pengundi veteran dan warga emas tetap setia dengan parti pilihan mereka dan sedia jalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

Pesara yang juga bekas pengurus bank, Mohd. Sohimi Abu Bakar, 63, berkata, dalam memilih sesebuah parti, perkara yang perlu dilihat ialah rekod pemimpin itu sama ada bersih atau pernah terlibat dengan kes-kes rasuah dan penyelewengan.

Mohd Sohimi Abu Bakar

Katanya, salah satu cara untuk mengetahuinya ialah dengan menganalisis latar belakangnya, kesetiaan kepada parti selain mengkaji kelogikan manifesto yang dijanjikan.

“Berdasarkan rekod PRU yang lepas, ada parti yang gagal melaksanakan apa yang terkandung dalam manifesto, malah telah gagal mengurus tadbir negara dengan baik selain pemimpinnya ada yang terlibat dengan rasuah dan penyelewengan.

“Kali ini saya akan pilih parti lain kerana parti terdahulu mengecewakan dan telah gagal mengurus tadbir negara, selain pemimpinnya yang gagal dan tidak bersih,” katanya.

Mohd. Sohimi bagaimanapun berharap para pemimpin yang mentadbir negara kelak adalah seorang pemimpin yang akan berusaha untuk memberi kemakmuran kepada rakyat terutamanya kepada golongan muda, berpendapatan rendah (B40) dan yang kurang bernasib baik.

Seorang warga emas yang mahu dikenali sebagai Tajul, 64, berkata, tidak banyak perubahan pada PRU15 kali ini walaupun ada parti baharu dan calon yang ramai kerana masih ramai ‘muka lama’ yang bertanding.

TAJUL ARIF

“Saya sudah mengundi lima kali dalam PRU tapi muka sama juga yang saya nampak dan perubahan yang berlaku cuma kes mahkamah mereka, bukannya kerajaan yang betul-betul pentingkan rakyat.

“Dalam tiga gabungan besar, semua tidak boleh diharap, tapi kita terpaksa juga pilih satu yang terbaik daripada semua dan bagi saya ianya ‘merah’,” ujarnya.

PRU15 kali ini mencatat sejarah apabila merekodkan seramai 945 calon disahkan layak bertanding untuk merebut 222 kerusi Parlimen di seluruh negara, yang teramai dalam sejarah PRU negara.

Sementara itu, Gaya Salleh, 58, pula berpendapat, pengundi sekarang perlu lebih peka dan bijak membuat pilihan kerajaan manakah yang mampu membawa Malaysia sebagai negara yang lebih maju dan menstabilkan ekonomi.

GAYA SALLEH

“Saya akui dengan jumlah calon yang agak banyak pada pilihan raya kali ini, ia boleh menimbulkan kekeliruan terutamanya bagi golongan anak muda. Tetapi sekarang sudah ada banyak platform untuk mempelajari semua ini, jadi saya harap mereka bijak membuat pilihan yang tepat.

“Saya juga masih setia dan kekal dengan parti pilihan saya. Saya percaya kali ini mereka ada peluang yang besar dan cerah untuk memenangi dan mentadbir kerajaan pada PRU15, kerana bagi saya mereka adalah parti yang selalu mengambil berat dan tidak pernah mengenepikan masalah rakyat,” jelasnya.

Gaya juga berharap kerajaan yang mentadbir kelak akan menjalankan tanggungjawab mereka dengan telus dan tiada lagi rasuah serta salah guna kuasa.

Suri rumah, Mailin Saidin, 53, pula berkata, tidak kira berapa banyak parti atau calon yang bertanding, orang ramai tetap akan pilih calon yang berkebolehan dan mampu buat perubahan untuk rakyat.

MAILIN SAIDIN

“Kita mahu pemimpin yang boleh bantu rakyat di tempatnya, tidak kira dia mewakili parti mana atau muka baharu sekali pun.

“Bagi saya sendiri, perahu tetap akan berlayar di Kota Belud sebab dia (Isnaraissah Munirah) lantang bersuara dan bantu rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Mailin yang sudah melalui beberapa siri PRU, turut menjelaskan bahawa orang muda pada hari ini juga tetap akan menyokong wakil calon yang boleh membawa perubahan tanpa mengira calon muda atau tua. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.